Pemandu maut, rakan cedera kereta terbakar selepas terbabas di NPE


  • 112
  • Ahad, 20 Okt 2024

Kebakaran tersebut membabitkan sebuah kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki berpunca daripada kemalangan jalan raya.

SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 14.9, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala ke Pantai Dalam, pada Ahad.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sohirol Rizal Madon berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan nahas itu pada pukul 8.28 pagi.

Menurutnya, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

"Kebakaran tersebut membabitkan sebuah kereta Toyota Altis dinaiki dua lelaki berpunca daripada kemalangan jalan raya.

"Pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Seorang lagi lelaki berusia 24 tahun mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan susulan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sohirol Rizal turut memaklumkan bahawa kenderaan terbabit dianggarkan terbakar 100 peratus.

"Operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya pada pukul 9.40 pagi," ujarnya.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Toyota Altis 1.6E berkenaan telah menjalani pemeriksaan berkala di Toyotsu dan kali terakhir adalah pada Januari 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram