[VIDEO] Tiga kanak-kanak maut, kereta Perodua Alza terjunam dalam sungai


  • 112
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Anggota bomba melakukan selaman bagi memastikan tiada mangsa terperangkap dalam MPV yang terjunam dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Sundar, Lawas.

DUA kanak-kanak lelaki dan satu budak perempuan terbunuh dalam insiden kereta terjunam ke dalam sungai yang berlaku di Kampung Awat-Awat di Jalan Awat-Awat, daerah Sundar dekat Lawas, Sarawak pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu Mohamad Nazran Ag Matasan, 10, Eryna Akifa Imani Zukri, 8, dan Mohd Fayard Mohd Azmi, 5, disahkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan lanjut di Hospital Lawas.

Manakala, seorang lagi mangsa iaitu Madieenatul Munawarah Mohd Azmi berusia 9 tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sudah dibawa ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis siasat wanita 'saka' mengamuk serang guna buluh di Saujana Utama

BACA LAGI: Siasatan terhadap GISB berdasarkan fakta, Ketua Polis Negara bidas kenyataan Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami

Kemalangan itu juga menyaksikan enam mangsa lain termasuk pemandu yang merupakan lelaki berusia 39 tahun bagaimanapun berjaya keluar menyelamatkan diri melalui pintu bonet bahagian belakang kereta.

Dalam pada itu, seramai tiga kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta Perodua Alza itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sundar Lawas.

Menurut Azman selaku Komander Operasi, sepasukan anggota dari BBP Lawas bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.15 petang.

“Sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah kereta terjunam ke dalam sungai di lokasi yang dilaporkan,” katanya memetik kenyataan pada Jumaat.

Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan serta pencarian di permukaan sekitar kenderaan yang tenggelam itu bagi memastikan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan.

Setelah keadaan terkawal dan didapati selamat, operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 2.50 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram