SCRUT terima ugutan peluru, saman berjuta lepas bongkar 'konspirasi' industri cecah RM20 bilion


  • Bizz
  • Isnin, 21 Okt 2024

Aliff Ahmad (gambar kiri) mengasaskan SCRUT bersama seorang rakan niaganya pada 2019.

MENERIMA ancaman berupa peluru dan saman bernilai jutaan ringgit. Itulah antara cabaran dihadapi syarikat SCRUT, penyedia platform laporan data penuh semakan kereta terpakai dari luar negara (recond) dan tempatan.

Pengasas bersama SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, industri jualan kereta terpakai di dalam negara didakwa memberikan pulangan cukup lumayan sehingga menyebabkan ramai pihak mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan.

Ujarnya, kegiatan itu dilakukan dengan cara menjual kereta terpakai yang sudah berada dalam keadaan teruk pada harga mahal.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 jut

"Cara mereka buat duit adalah dengan pusing 'mileage'(ubah laporan terakhir perbatuan kereta). Kemudian kereta yang dah rosak teruk akibat kemalangan pun mereka akan baiki balik.

"Tapi bila jual, dia akan letak harga mahal dengan iklan kata tiptop condition dan bebas kemalangan. Benda itu memang standard normal yang diamalkan.

"Jadi mereka memang sebenarnya banyak ambil kereta kemalangan di United Kingdom (UK) dan Jepun sebab murah," katanya kepada Majoriti.

Ahmad Aliff berkata, industri jualan kereta terpakai dianggarkan bernilai RM20 bilion dengan jumlah tahunan kenderaan yang berada di pasaran adalah sekitar 30,000 unit bagi kereta recond dan 400,000 unit untuk kereta terpakai tempatan.

Menurutnya, kegiatan tersebut didakwa sudah dibiarkan berlaku berleluasa dipercayai didalangi oleh mereka yang kaya dan mempunyai pengaruh cukup kuat.

Disebabkan itu, beliau berkata, tindakan mereka membongkar penipuan berkenaan sememangnya mendapat tindak balas daripada kumpulan tersebut yang terdiri daripada penjual kereta terpakai dan juga pemegang permit import (AP) tidak bertanggungjawab.

Selain pernah menerima ancaman hantaran berupa peluru di pejabat mereka, SCRUT juga ditekan dengan kini berdepan sekurang-kurangnya lima jumlah saman di mahkamah yang setiap satu daripadanya lazimnya dianggarkan melebihi RM1 juta.

images (4)

Menurut Aliff Ahmad, banyak kereta recond yang dijual sebenarnya sudah mengalami kemalangan berada pada tahap keadaan teruk namun dijual pada harga cukup tinggi.

Di samping itu, kongsi Ahmad Aliff, ketika tahun awal penubuhannya pada 2019, mereka juga pernah mendapat tekanan secara lembut daripada satu pihak yang menawarkan rasuah bernilai RM4 juta untuk mereka menutup syarikat.

"Waktu itu kami baru tak sampai setahun. Jualan kami pun masih tak sampai RM2 juta. Kalau kata kami lapar, memang kami ambil. Sebab kalau daripada segi perniagaan, kami dah untung dan boleh buat perniagaan lain.

"Jadi, memang macam-macam kami terima. Tawaran cara baik ada, tekan cara undang-undang ada. Ugut cara kasar pun ada (terima peluru)," katanya yang turut memaklumkan SCRUT masih belum lagi kalah dalam mana-mana kes saman dihadapi.

SCUT ditubuhkan pada 2019 oleh Aliff Ahmad bersama seorang lagi pengasasnya iaitu Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel selepas kedua-dua mereka menjadi mangsa tipu kepada kereta recond daripada Eropah.

Sebelum itu, Aliff Ahmad yang merupakan graduan kejuruteraan daripada Adelaide, Australia dan turut berpengalaman mengasaskan beberapa syarikat pemula dalam bidang perisian dan teknologi.

Pada waktu ini, beliau turut memegang peranan di beberapa syarikat antaranya sebagai Pengarah Komersial Ifcon Technology dan Ketua Pegawai Eksekutif Aire Capital Sdn Bhd.

Aliff Ahmad berkata, ketika mewujudkan SCRUT, mereka sama sekali tidak mempunyai niat untuk menyerang mana-mana penjual kereta terpakai.

"Kami punya mazhab bukan nak serang penjual kereta. Tidak ada niat pun sebenarnya. Sebab sasaran kami adalah untuk pengguna.

"Jadi, kita bagi penyelesaian dan pilihan kepada pengguna untuk periksa dulu sebelum beli. Tapi kalau kami diserang (penjual), kami akan lawan.

"Sebab kalau kami diam, kami akan makin ditindas. Bila diorang tekan kami, itulah bukti sebenarnya kami di atas kebenaran," ujarnya yang turut memaklumkan sudah membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima.

Demand for used cars is on the upward trend in the recent months as buyers don't have to wait long unlike buying a new car as the waiting period could last between six and 12 months. — THOMAS YONG/The Star

Nilai industri jualan kereta terpakai negara dianggarkan bernilai RM20 bilion setahun. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, sejak 2019, SCRUT sudah mengeluarkan sebanyak kira-kira 200,000 laporan data penuh kenderaan terpakai kepada pelanggan.

Jumlah tersebut boleh dikatakan masih agak rendah dengan mengambil kira jual beli kereta terpakai tempatan dan recond di dalam negara yang mencapai hampir setengah juta setiap tahun.

Ujarnya, daripada laporan dikeluarkan tersebut, dianggarkan satu daripada lima laporan dikeluarkan itu menunjukkan berlakunya penipuan data daripada penjual.

Teliti data laporan kereta terpakai

Menurut Aliff Ahmad, proses penelitian laporan dilakukan SCRUT bagi kereta recond dibantu dengan data terbuka yang tersedia di luar negara di samping pemeriksaan silang beberapa peringkat bagi memastikan kesahihan data diterima.

"Sebagai contoh, untuk kereta recond daripada Jepun, kami dapat data sendiri daripada bilik pameran di negara tersebut. Tapi kami tak mudah-mudah terima apa yang diberi. Kami akan periksa juga pihak ketiga.

"Kemudian kami juga akan lakukan penelitian data menggunakan sistem kami sendiri. Untuk satu lagi peringkat, kita juga buat pencarian manual dengan pusat pemeriksaan kenderaan di Jepun. Jadi kita trace semua benda benda secara holistik.

"Sebab itu kos operasi kami pun tinggi sebab nak jaga integriti sistem itu. Kalau di UK lebih mudah sebab kami dapat terus laporan daripada Kementerian Pengangkutan negara tersebut," ujarnya.

Sementara itu, bagi kereta terpakai dalam negara pula, Aliff Ahmad berkata, SCRUT mengambil data daripada syarikat penanggung insurans yang disahkan Bank Negara Malaysia di samping penggunaan data awam dengan kaedah crowdsourcing.

434666178_921479819978110_2613777832771881336_n

SCRUT turut mempunyai perniagaan bengkel pemeriksa kereta yang dikenali sebagai SCRUT Auto. — SCRUT Auto

Pada masa sama, beliau berkata, proses pengesahan data itu turut melibatkan carian secara manual antaranya menerusi pemeriksaan bersama pihak berkuasa seperti polis.

"Kami juga bertanggungjawab dengan sampai tahap pegawai pemeriksa kami beri keterangan di untuk bantu pelanggan dapat keadilan di mahkamah.

"Sudah ada lima hingga enam kes yang pegawai pemeriksa kami bagi hadir untuk beri keterangan sampai mereka berjaya dapat pampasan," ujarnya.

Harga bagi laporan kereta terpakai dan recond bermula pada harga RM60 bagi setiap laporan dengan pengguna hanya perlu mendapatkan nombor chassis dan VIN kereta daripada penjual.

Dalam pada itu, bergerak ke hadapan, Aliff Ahmad berkata, SCRUT turut bercadang untuk menjadikan perniagaannya sebagai platform jualan dan bidaan bagi jual beli kereta.

Selain itu, katanya, mereka juga merancang untuk membesarkan lagi operasi perkhidmatan bengkel pemeriksaannya dikenali sebagai SCRUT Auto yang kini beroperasi di Ampang, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram