UMMU Atiyah Ashaari, anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad tiba di perkampungan GISB Holding Sdn Bhd (GISB) di Batu Hampar, Beruas, Manjung, Perak pada Ahad.
Dia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menunjukkan kepada polis lokasi dirinya didakwa dikurung selama sebulan oleh pengikut GISB, di kawasan yang dikenali sebagai Bandar Ikhwan.
Wanita berusia 41 tahun itu diiringi lima kenderaan polis yang turut membawa 10 pegawai, diketuai Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan N Suder dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
BACA LAGI: Selangor fatwa GISB sesat, MAIS rangka pelan tindakan pemulihan pengikut
BACA LAGI: [VIDEO] Penjaga rumah amal GISB tak mengaku salah rotan kanak-kanak
Dia yang memakai baju kebarung kelabu dan berselendang putih dilaporkan tiba di Balai Polis Padang Gajah di Trong pada pukul 11 pagi untuk memberi keterangan.
Ummu Atiyah kemudian diiringi ke lokasi, mengenal pasti beberapa kawasan seperti yang didedahkan sebelum ini dalam sidang media bagi membantu siasatan polis.
Ia termasuk sebuah bilik di rumah satu tingkat yang mana dia mendakwa telah ditahan.
Wanita tersebut dalam pada itu turut berharap agar mana-mana media untuk tidak mendedahkan nombor pendaftaran kenderaannya.
"Terima kasih, kami akan pulang ke KL (Kuala Lumpur). Tolong jangan ambil nombor kenderaan ini," pintanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISB di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke Malaysia dan dikurung di sebuah perkampungan GISB di Batu Hampar. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram