[VIDEO] KPWKM siasat video tular pegawai JKM jumpa famili kanak-kanak GISB


  • Primer
  • Khamis, 17 Okt 2024

Tangkap layar video tular memaparkan perbualan seorang pegawai JKM bersama keluarga dikaitkan dengan kanak-kanak diselamatkan daripada GISB.

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyiasat video tular didakwa memaparkan pertemuan antara keluarga dikaitkan dengan kanak-kanak diselamatkan daripada Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) bersama seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam satu kenyataan pada Khamis, KPWKM berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut manakala JKM pula sedang melakukan siasatan dalaman terperinci bagi memastikan tindakan sewajarnya boleh diambil.

Menerusi video tular terbabit, individu dipercayai pegawai JKM itu mendakwa tidak menemui sebarang unsur penderaan ke atas kanak-kanak yang diselamatkan dari salah satu rumah kebajikan GISB.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

"Kementerian memandang serius kes yang telah tular di media sosial berkenaan satu rakaman pertemuan Pelindung Kanak-Kanak dengan Ibu atau Bapa Kanak-Kanak kes GISB.

"Pihak JKM sedang melakukan siasatan dalaman terperinci bagi memastikan tindakan sewajarnya boleh diambil," menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan, JKM juga telah mengaktifkan talian khas bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan Kanak-kanak Op Global ini yang boleh dihubungi di nombor 03-8323 2190 dan 03-8323 2191.

Berdasarkan video tular terbabit, pegawai terbabit didengar memberitahu ibu bapa berkenaan bahawa pihaknya tidak menjumpai sebarang unsur penderaan ketika pasukannya tiba pada hari pertama serbuan di salah sebuah rumah kebajikan GISB.

Sehingga 14 Oktober lalu, seramai 560 orang kanak-kanak kini sedang ditempatkan di tempat-tempat selamat setelah JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh Mahkamah bagi tempoh 2 bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kesemua 560 orang kanak-kanak yang sedang berada di bawah perlindungan dan penjagaan JKM pada masa ini masih diperlukan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

"Matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat adalah kembali ke pangkuan keluarga," ujar kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPWKM, Kanak-Kanak, Video Tular, JKM, Penyiasatan