[VIDEO] Penjaga rumah amal GISB tak mengaku salah rotan kanak-kanak


Mohd Syahid mengaku tidak bersalah mendera kanak-kanak di Mahkamah Seksyen Selayang, Selangor pada Jumaat. — AZLINA ABDULLAH

SEORANG penjaga rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah mendera kanak-kanak di salah satu rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu di Mahkamah Seksyen Selayang, Selangor pada Jumaat.

Mohd Syahid Hanapiah yang memakai baju T berwarna biru gelap dan seluar jeans mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

BACA LAGI: Kanak-kanak, wanita antara lebih 10 individu diperiksa dalam serbuan di pusat komersial GISB Rawang

BACA LAGI: KPM guna modul pembelajaran khas bantu pendidikan kanak-kanak rumah amal GISB

Mohd Syahid didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki tersebut di salah satu rumah amal GISB yang berlokasi di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor antara Februari hingga September tahun ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merotan kanak-kanak tersebut yang mungkin akan menyebabkan kecederaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan jaminan RM20,000 dengan tiga syarat tambahan.

Sementara itu, Mohd Syahid yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia menghadapi masalah kewangan dan masalah keluarga.

Lailatul Zuraida kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat lain yang diminta pihak pendakwaan.

Tertuduh juga dilarang berjumpa dan mengganggu mangsa, perlu melaporkan diri di balai berdekatan dan mesti boleh dihubungi pada bila-bila masa oleh pihak berkuasa.

GAMBAR DALAMMM

Klip video seorang kanak-kanak dirotan sehingga menangis di salah sebuah pusat pendidikan dipercayai ada kaitan dengan GISB.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 November depan dan lantikan peguam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata, kejadian itu berlaku semasa di bawah jagaan satu daripada rumah amal GISBH.

"Kertas siasatan ke atas penjaga rumah amal berusia 35 tahun itu dihantar ke pejabat Peguam Negara pada Khamis dan polis menerima arahan untuk pertuduhan," katanya.

Polis sebelum ini melancarkan Op Global awal bulan lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram