Pemandu Bezza maut kereta berpusing, 2 lagi parah nahas 4 kenderaan di Bandar Penawar


  • 112
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Pemandu Perodua Bezza parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

SEORANG lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 56.7 Lebuhraya Senai Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, pada Khamis.

Mangsa yang maut merupakan pemandu kenderaan jenis Perodua Bezza, sementara penumpang kereta itu dan seorang lagi penunggang motosikal parah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian kita-kira pukul 7.10 petang itu dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Bezza, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke arah Bandar Penawar masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori Scania.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

WhatsApp Image 2024-10-18 at 15.07.07 (2)

Kemalangan itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal parah.

“Akibat pertembungan itu, lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun tersebut hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Di laluan bertentangan, lori berkenaan bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun.

"Kereta Perodua Bezza yang bertembung dengan lori Scania tadi pula telah berpusing dan mengenai motosikal yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Hussin, pemandu Perodua Bezza tersebut parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang kereta serta penunggang motosikal yang parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan.

Ujarnya, pemandu lori dan pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mereka yang mempunyai maklumat bagi membantu siasatan pihak polis boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafizi Said di talian 017-9252768," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram