Murid darjah satu maut, motor ditunggang abang umur 10 tahun dilanggar van di Baling


  • 112
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Seorang budak berumur tujuh tahun maut selepas motosikal dibonceng bersama abang dan rakan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Charok Putih pada Khamis.

SEORANG kanak-kanak berumur tujuh tahun maut selepas motosikal dibonceng bersama abang dan rakan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Charok Putih dekat Baling, Kedah pada Khamis.

Muhammad Darimi Mohd. Naim, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang maut membonceng di bahagian tengah motosikal ditunggang abangnya yang berusia 10 tahun, manakala rakan mereka yang juga berusia 10 tahun, membonceng di bahagian belakang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Azmi Mokhtar berkata, kejadian pada pukul 3.30 petang itu dipercayai berlaku ketika van dinaiki tiga lelaki yang merupakan peniaga pasar malam dalam perjalanan menghala ke Kampung Bandar, manakala motosikal dinaiki tiga kanak-kanak terbabit dari Kampung Charok Putih menghala ke Kampung Surau.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal terbabit dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelah kiri untuk membelok ke kanan menyebabkan van tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal melambung dan jatuh ke dalam longkang sebelah kanan jalan manakala adik dan rakannya tersepit di bahagian tayar hadapan van," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata mangsa yang berusia tujuh tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala, abangnya cedera di leher dan luka pada badan, manakala rakan mereka patah kaki kanan dan luka pada badan.

Azmi berkata pemandu van berusia 26 tahun mengalami luka pada kaki dan tangan, manakala dua penumpangnya berusia 46 dan 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat manakala dua kanak-kanak yang cedera dihantar ke Hospital Baling.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang cuai ketika keluar simpang sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan van tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram