Muhammad Hafizuddeain rakyat Malaysia ke-3, dimasyhurkan ahli IHOF USAGCSC


  • 112
  • Isnin, 14 Okt 2024

Muhammad Hafizuddeain Jantan telah dimasyhurkan sebagai ahli ke-300 IHOF USACGSC. — Facebook/Tentera Darat Malaysia

NAMA Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tidak asing lagi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebagai PTD, beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, tetapi juga ikon kebanggaan negara dalam bidang ketenteraan.

Terbaharu, Muhammad Hafizuddeain melakar sejarahnya yang tersendiri apabila dimasyhurkan sebagai ahli ke-300 International Hall of Fame (IHOF) United States Army Command and General Staff College (USACGSC).

BACA LAGI : [VIDEO] Kecil-kecil sudah resap semangat tentera, anak jati Johor Bahru jadi watak penting BlackParade Tactics

BACA LAGI: Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

Anugerah berprestij itu diterima Muhammad Hafizuddeain dalam satu majlis rasmi di Fort Leavenworth, Kansas, Amerika Syarikat pada Jumaat, menjadikan beliau rakyat Malaysia ketiga yang menerima pengiktirafan tersebut.

462750959_1125989079528751_2353724439033659192_n

Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan penganugerahan yang diterima oleh PTD berkenaan merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan kerana Muhammad Hafizuddeain merupakan rakyat Malaysia yang ketiga dalam lipatan sejarah yang telah dimasyhurkan sebagai ahli IHOF USAGCSC.

Sebelum ini, Panglima Tentera Darat ke-18, Jeneral Tan Sri Md Hashim Hussein dan Panglima Tentera Darat ke-19, Jeneral Tan Sri Mohd Shahrom Nordin turut menerima anugerah sama.

Lebih manis lagi, majlis penganugerahan tersebut turut disaksikan isteri beliau, Puan Sri Hartiah Hamzah yang juga Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat.

Untuk rekod, Muhammad Hafizuddeain, 56, dilahirkan di Segamat, Johor dan mendapat pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 1985.

Beliau kemudiannya berkhidmat bersama ATM dan menjalani latihan pegawai kadet MTD di Kem Sungai Besi bermula pada 19 Ogos 1986 dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di Kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 30 Julai 1988 sebagai Ketua Platun di Batalion ke-10 RAMD.

450483114_923042346530900_9209847062035661540_n

Muhammad Hafizuddeain (dua dari kanan) seorang figura yang sangat disegani dalam dunia ketenteraan dalam dan luar negara. — Facebook/Angakatan Tentera Darat

Beliau juga menghadiri pelbagai kursus dan pengajian di dalam dan luar negara, antaranya Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Infantri Officer Advance Course di Amerika Syarikat, Command and General Staff College di Amerika Syarikat, Master in Management di Filipina, Sariana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah Pegawai Memerintah Batalion Keempat RAMD, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD).

Pada September lalu, Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik PTD yang baharu di atas pengalaman yang cukup luas kerana telah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat TDM dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai pemerintah, staf dan jurulatih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram