Monyet serang budak perempuan di Seremban sudah ditangkap — Perhilitan


  • 112
  • Isnin, 14 Okt 2024

Pasukan Perhilitan berjaya menangkap monyet itu kira-kira tiga jam selepas kejadian serangan.

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sudah menangkap monyet yang dipercayai menyerang seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Taman Warisan Puteri, Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad.

Pengarah Perhilitan, Faizal Izham Pikri berkata, haiwan itu ditangkap beberapa jam selepas kanak-kanak berkenaan diserang di pekarangan rumahnya.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berkenaan serangan monyet itu kira-kira pukul 6 petang.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

“Kami berjaya menangkap monyet tersebut kira-kira tiga jam selepas kejadian serangan. Pada mulanya (penangkapan agak) sukar kerana haiwan itu bersembunyi di atas bumbung rumah,” katanya.

Media pada Ahad melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan di kaki kiri selepas diserang monyet ketika cuba menghalaunya daripada mendekati dua adiknya, masing-masing berusia lima dan dua tahun.

Dalam kejadian pada pukul 4.20 itu, mangsa sedang membantu ibunya Nurul Farahana Zaini, 35, mengeringkan pakaian.

Nurul Farahana berkata, ketika menyidai pakaian, monyet itu tiba-tiba muncul dan hendak menyerang anak-anaknya.

“Dia melindungi adik-adiknya daripada dicederakan haiwan liar tersebut tetapi akhirnya digigit di kaki kirinya,” katanya.

Nurul Farahana kemudiannya mengambil sebatang kayu untuk menghalau monyet itu.

Dia kemudiannya membawa anak perempuannya ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk menerima rawatan lanjut. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram