Mpox: Penduduk Kelantan baru pulang negara berisiko digesa lapor diri di Jabatan Kesihatan


  • Sihat
  • Rabu, 18 Sep 2024

Mpox sudah diisytihar sebagai darurat kesihatan global oleh WHO.

PENDUDUK Kelantan yang pulang dari negara berisiko tinggi, termasuk benua Afrika seperti Republik Demokratik Congo, diarahkan agar memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri itu bagi memudahkan pemantauan dan mencegah penularan wabak cacar monyet atau Mpox.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen bagi memantau individu yang tiba dari negara berisiko tinggi tersebut.

"Pemantauan juga dilakukan di pusat pemeriksaan sempadan negeri, termasuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang dan Bukit Bunga.

"Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang laporan kes Mpox. Bagaimanapun, kami menggesa orang ramai supaya memaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri dengan segera jika mereka pergi ke negara berisiko tinggi atau pernah terdedah kepada individu yang menghidap penyakit Mpox," katanya.

BACA LAGI: Mpox: Tiada pelan segera untuk vaksinasi — Timbalan Menteri Kesihatan

BACA LAGI: Sudah diisytiharkan darurat, kanak-kanak berisiko tinggi terkena mpox

Ketika ditanya sama ada Thailand dianggap sebagai negara berisiko tinggi, Dr Zaini mengesahkan bahawa, setakat ini, Thailand tidak diklasifikasikan sedemikian.

Pada Selasa, media melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes positif Mpox varian clade II di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pesakit berkenaan adalah seorang lelaki tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada Rabu lepas selain diikuti gejala ruam yang mula muncul pada Khamis lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram