Hutang negara cecah RM1.173 trilion pada 2023, meningkat 8.6 peratus


  • Primer
  • Isnin, 14 Okt 2024

Hutang Kerajaan Persekutuan merekodkan jumlah RM1.173 trilion pada tahun lalu.

HUTANG Kerajaan Persekutuan merekodkan jumlah RM1.173 trilion pada tahun lalu, meningkat RM92.918 bilion atau 8.6 peratus berbanding 2022 yang berjumlah RM1.080 trilion.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, hutang negara terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trilion atau 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Hutang Persekutuan, manakala Hutang Luar Negeri berjumlah RM29.851 bilion atau 2.5 peratus.

Jelasnya, Pinjaman Dalam Negeri mencatatkan peningkatan RM92.580 bilion atau 8.8 peratus, sementara Hutang Luar Negeri meningkat RM0.338 bilion (1.1 peratus).

BACA LAGI: Akta Audit akhirnya dipinda selepas 33 tahun, perkasa peranan Ketua Audit Negara

BACA LAGI: Hutang negara RM1.5 bilion: Pakar saran tutup ketirisan, kawal perbelanjaan

The Auditor-General's Report 2021 Series 2 at the National Audit Department in Putrajaya on February 16.—AZMAN GHANI/The Star

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, hutang negara terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trilion.

"Kedudukan Liabiliti Persekutuan pada akhir 2023 menunjukkan peningkatan dengan Nisbah Liabiliti Persekutuan kepada Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) pada kadar 81.8 peratus berbanding 78.0 peratus pada 2022.

"Ini berikutan kadar pertumbuhan KDNK nominal pada 2023 adalah sebanyak 1.6 peratus lebih perlahan berbanding 2022 pada 15.8 peratus. Nisbah Hutang Persekutuan kepada KDNK pada 2023 pada kedudukan 64.3 peratus juga meningkat berbanding 60.2 peratus pada 2022.

"Komitmen Jaminan juga menunjukkan peningkatan sejumlah RM3.288 bilion atau 1.5 peratus kepada RM227.404 bilion berbanding sejumlah RM224.116 bilion pada 2022," kata laporan itu.

Laporan berkenaan turut memaklumkan, bagi menambah baik pengurusan Hutang Persekutuan, kerajaan melaksanakan pembaharuan fiskal dengan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] di Parlimen pada 11 Oktober tahun lalu.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga mengambil langkah rasionalisasi dan konsolidasi defisit secara berperingkat, iaitu pengurangan defisit daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023.

"Pada 2024, defisit fiskal diunjurkan kepada 4.3 peratus dan kurang daripada tiga peratus untuk tahun-tahun berikutnya.

"Bagi pengurusan hutang negara, langkah-langkah pengurangan hutang daripada 64.3 peratus kepada KDNK pada 2023 sehingga mencapai 60 peratus menjelang 2030," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, Kerajaan Persekutuan disarankan untuk memberi perhatian serius terhadap pinjaman baharu.

Katanya, usaha itu bertujuan memberi tumpuan kepada membiayai bayaran balik pinjaman yang akan matang memandangkan Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan bagi melunaskan pinjaman yang akan matang sejumlah RM773.750 bilion dalam tempoh 10 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram