PADA Rabu, Akta Audit 1957 [Akta 62] akhirnya dipinda selepas 33 tahun apabila Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat.
Jabatan Audit Negara dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pindaan Akta Audit 1957 itu akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.
RUU berkenaan diluluskan setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
BACA LAGI: 'Aneh dan kebetulan', calon penaja utama Kedah hairan 'diserbu' Kastam, LHDN berturut-turut
BACA LAGI: [VIDEO] Sempat hadir kenduri kahwin sebelum satu keluarga hanyut dibawa arus sungai di India
Ketua Audit Negara, YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi hadir dalam Bacaan Kedua Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024. — Facebook/Jabatanauditnegara
"Jabatan Audit Negara ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Rakyat yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dengan memberi idea dan pandangan demi kepentingan negara berkaitan pengurusan wang awam. Terima kasih juga kepada seluruh ahli dewan yang menyokong pindaan RUU ini.
"RUU ini dijangka akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada akhir bulan Julai 2024," menurut kenyataan itu.
Di samping itu, ia bagi memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.
Akta Audit 1957 [Akta 62] sedia ada tidak dipinda sejak tahun 1991 dan perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini yang menyentuh aspek tatakelola dan pengurusan wang awam.
Bukan itu sahaja, ia juga bertujuan untuk memperkasakan peranan Ketua Audit Negara dalam memastikan fungsi semak dan imbang melalui tiga pengauditan utama iaitu pengauditan penyata kewangan, pengauditan prestasi program atau aktiviti kementerian, jabatan atau agensi kerajaan serta pengauditan pengurusan syarikat kerajaan.
Pindaan Akta 62 melibatkan lima prinsip pindaan berkaitan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada peruntukan sedia ada seperti pengauditan badan lain termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk jaminan kewangan.
YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (depan,tiga kiri). — Facebook/Jabatanauditnegara
"Pengauditan melalui pendekatan 'Follow The Public Money Audit', tertakluk kepada Menteri Kewangan atas dasar kepentingan awam dan mewujudkan suatu peruntukan baharu mengenai kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang perlu serta sesuai manfaat bagi menjalankan peruntukan Akta 62.
"Ia turut merangkumi kuasa Ketua Audit Negara untuk membuat syor menangani apa-apa ketakteraturan serius yang telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawah pengauditannya.
"Di samping itu, untuk memperluas kuasa Ketua Audit Negara dalam melaksanakan susulan audit terhadap apa-apa syor, ulasan atau pandangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan tindakan yang telah diambil oleh Persekutuan, negeri, pihak berkuasa awam atau badan yang ditentukan," jelasnya.
Sebelum ini, Bacaan Kali Pertama Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Jun lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sesi Libat Urus Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Bersama Ahli Dewan Rakyat Mengenai Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 telah diadakan di Parlimen pada 1 Julai 2024.
Seramai 35 orang Ahli Dewan Rakyat daripada Kerajaan dan Pembangkang telah hadir dalam sesi libat urus tersebut untuk mendengar pembentangan dari Ketua Audit Negara (KAN) tentang intipati pindaan yang terkandung dalam RUU Audit (Pindaan) 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram