UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) cawangan Terengganu bersedia mengatur pertemuan antara suami suspek wanita dan keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa tiga pelajar universiti tersebut.
Jelas pihak pengurusan universiti terbabit, ia susulan permintaan keluarga suspek yang ingin menyampaikan permohonan maaf secara peribadi dalam pertemuan bersemuka dengan tiga keluarga mangsa.
Bagaimanapun, UiTM berkata, pihaknya akan menunggu masa yang sesuai dan memastikan semuanya dalam keadaan tenang serta emosi bersedia untuk pertemuan berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Dron pengesan haba bantu polis AS kesan budak hilang di tengah-tengah ladang jagung
"UiTM menghargai hasrat tersebut dan akan cuba berhubung dengan keluarga mangsa agar pertemuan itu dapat berlangsung pada masa yang sesuai untuk ketiga-tiga keluarga berkenaan.
"Buat masa ini, mereka memerlukan ruang dan masa kerana kehilangan anak mereka," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Terdahulu, suami kepada wanita terbabit dalam kemalangan itu, Azhar Ahmad, 53, yang mewakili isterinya memohon maaf kepada semua keluarga mangsa yang kehilangan anak akibat insiden maut tersebut.
Dalam pada itu, UiTM turut memberi maklumat terkini mengenai keadaan seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, yang dilaporkan semakin pulih.
Jelasnya, keluarga mangsa turut melahirkan rasa puas hati dengan penginapan dan sokongan lain yang disediakan oleh pihak UiTM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram