'Hiburan bukan dunia saya', KJ mahu tunai manifesto lepas julang trofi Penyampai Radio Popular


  • Hiburan
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Khairy Jamaluddin merangkul Anugerah Penyampaian Radio Paling Popular.

"DUNIA hiburan dan media yang agak asing bagi saya telah menawarkan tempat untuk saya berteduh".

Demikian ungkapan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan kejayaannya merangkul Anugerah Penyampai Radio Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.

Khairy atau lebih mesra disapa KJ itu menganggap ia merupakan rezeki buatnya walaupun 'tergelincir' dari dunia politik.

BACA LAGI: KRU buat 'comeback', bakal lancar album Kaset dan konsert jelajah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bila lagi giliran saya?', bintang filem Man Laksa kini cef terkenal di New Zealand

"Dunia hiburan ini bukan dunia saya. Saya datang dari dunia politik. Tetapi saya tergelincir dari dunia asal saya dan dibuang (mungkin seketika, mungkin lama).

"Dunia hiburan dan media yang agak asing bagi saya telah menawarkan tempat untuk saya berteduh," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Jelasnya, pembabitannya dalam dunia hiburan bermula sebagai 'troll' atau 'prank', tetapi stesen Hot FM memberi peluang kepadanya ke udara melalui radio.

"Mereka telah membuka peluang kepada saya. Terima kasih kepada mereka, terutama Nazri, Jake, Aaron dan Shah.

“Saya ditemukan dengan sosok-sosok radio yang hebat: AG, Fara dan Johan. Mereka mengajar saya selok belok industri baharu. Belum terlambat untuk saya belajar sesuatu yang baharu.

"Meskipun bagi orang tua seperti saya.Tidak lupa kepada semua yang di sebalik tabir, Krel, Ijal, Faz, Fasya, Pop, Firul, Arabelle. Kemenangan ini milik anda semua," ujarnya.

Kemenangan itu turut menyaksikan KJ berjaya menewaskan penyampai radio lain yang lebih berpengalaman iaitu Tyzo, Haiza, DJ Sonic dan Sharifah Shahirah.

Dalam pada itu, Khairy mahu menunaikan manifestonya yang sebelum ini berjanji untuk belanja orang ramai menikmati hidangan istimewa nasi lemak jika berjaya merangkul trofi anugerah tersebut.

Justeru, orang ramai dijemput hadir ke restoran Nasi Lemak Saleha, Ampang, Kuala Lumpur bermula pukul 7 hingga 10 pagi Isnin nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram