[VIIDEO] 'Haikal rindu, pulanglah mak', pelajar UPM kuatkan semangat rayu kepulangan ibu lepas ditinggal sejak usia 2 bulan


  • Massa
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Haikal yang sedang berkongsi kisahnya dengan seluruh pelajar baharu di UPM.

KISAH seorang pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor dapat memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya golongan muda di Malaysia.

Menerusi video tular di media sosial sejak Sabtu, Muhammad Haikal Daniel Mohd Zainizam tampil berkongsi perjalanan hidupnya dan perjuangannya dalam melanjutkan pelajaran di menara gading meskipun terpaksa melalui pelbagai dugaan.

Berani bercerita di hadapan khalayak ramai, Muhammad Haikal berkata, nenek dan mak saudara menjadi sumber kekuatannya sepanjang mengharungi liku-liku kehidupan.

BACA LAGI: Data adalah 'minyak' baharu, menteri saran guru dan pendidik kuasai teknologi terkini termasuk AI

BACA LAGI: [VIDEO] Dron pengesan haba bantu polis AS kesan budak hilang di tengah-tengah ladang jagung

Kata Muhammad Haikal, dia ditinggalkan oleh ibunya sejak umur dua bulan dan hampir dihantar ke Jabatan Kebajikan Malaysia dek kesusahan untuk melangsungkan hidup di kampung.

Lebih menyayat hati apabila ayahnya pula meninggal dunia pada usianya lima tahun.

"Kalau mak tengok video ini, mak, Haikal sangat rindu mak, pulanglah mak," ujarnya sambil menahan sebak.

Haikal pada masa sama meluahkan bahawa dirinya sanggup melakukan pelbagai kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga kecilnya.

Bukan itu sahaja, sepanjang bekerja juga dia sering kali ditipu dan dianiaya oleh individu tidak bertanggungjawab.

Ia bagaimanapun tidak memutuskan semangat dan harapan Haikal untuk terus berjuang demi mengubah nasib hidupnya.

Dengan kudratnya itu, Haikal bersyukur diberi peluang melanjutkan pelajaran di UPM dengan bantuan kewangan yang disalurkan melalui Pusat Pungutan Zakat (MAIWP) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Haikal justeru memberi kata-kata semangat kepada para pelajar lain agar sentiasa tidak berputus asa dalam melakukan segala perkara termasuk menimba ilmu.

"Saya harap kisah ini dapat dijadikan sebagai teladan sebab saya tahu ramai lagi kawan-kawan lain yang bersusah-payah berjuang dalam hidup.

"Sebab dua tahun saya bekerja keras mencari duit untuk belajar tetapi masih tidak cukup.

"Tetapi Alhamdulillah, UPM dan pihak kerajaan sangat baik kerana memahami dan bantu menangguhkan bayaran yuran untuk semester pertama ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram