[VIDEO] Dron pengesan haba bantu polis AS kesan budak hilang di tengah-tengah ladang jagung


  • Benua
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan pencarian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang sesat di dalam sebuah ladang jagung di AS.

PENGGUNAAN dron kini ternyata memberi kelebihan dalam pelbagai sektor termasuk bidang keselamatan.

Ia dapat dilihat apabila fungsi teknologi tersebut dapat membantu menyelesaikan kes kehilangan seorang kanak-kanak lelaki di Alto, Winscosin, Amerika Syarikat pada 25 Ogos lalu.

Menerusi rakaman video dron tular di media sosial sejak Jumaat, kelihatan pihak berkuasa sedang melakukan operasi pencarian kanak-kanak berusia tiga tahun yang tersesat di sebuah ladang jagung seluas 100 hektar pada waktu malam.

BACA LAGI: Manfaat 'Google Translate', minat membaca buku bantu 2 murid India fasih berbahasa Melayu

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada alasan tinggal solat, Masjid An-Nur dalam pusat beli-belah JB jadi contoh terbaik

Timbalan Syerif Daerah Fond du Lac ketika itu menerima panggilan bantuan daripada ibu bapa mangsa sekitar pukul 8.45 malam selepas mendapati anak mereka keluar seorang diri ke ladang tersebut.

Disebabkan keadaan ladang jagung yang begitu luas dan waktu pencarian agak gelap, pihaknya terpaksa menggunakan dron pengesan haba untuk menjejaki mangsa.

Dron itu kemudiannya diterbangkan ke kawasan ladang yang jaraknya enam kaki dari rumah mangsa.

Dalam video sama, pengguna dapat melihat kawasan ladang jagung sebagai imej hitam dan putih yang bertekstur sebelum timbulnya cahaya putih di celahnya.

Cahaya terang itu juga mempunyai pergerakan dan membentuk satu corak yang sekali gus memberi petanda bahawa terdapat satu objek hidup seperti manusia di kawasan terbabit.

Selepas kira-kira 15 mini, polis akhirnya berjaya menemukan dan menyelamatkan kanak-kanak terbabit di celahan tanaman jagung itu.

Mangsa kemudiannya dibawa keluar dan dihantar pulang ke rumah bersama ibu bapanya.

Kejadian seperti ini menunjukkan betapa pentingnya teknologi dan kerjasama pihak penguatkuasaan undang-undang dalam komuniti.

"Tanpa penggunaan dron pengimejan terma ini, ia mungkin mengambil masa beberapa jam untuk kami mencari di seluruh ladang jagung dan hasilnya juga mungkin berbeza," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram