MENELUSURI zaman serba canggih ini, budaya membaca masih menjadi antara amalan penting terutamanya dalam kalangan anak muda.
Meskipun gajet dan media sosial mendominasi perhatian mereka, namun terdapat lagi segelintirnya menunjukkan minat mendalam terhadap bahan bacaan seperti buku.
Tidak dapat dinafikan budaya membaca bukan sahaja membantu memperluaskan pengetahuan, ia juga dapat membentuk keperibadian dan nilai-nilai positif kepada si pembacanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Tiada alasan tinggal solat, Masjid An-Nur dalam pusat beli-belah JB jadi contoh terbaik
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas fasilitator kongsi tip penting sebelum buat gimik macam UiTM Segamat
Membaca adalah amalan yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.
Ia pada masa sama meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi atau kritis serta mampu berkomunikasi dengan lebih efektif.
Boleh mengambil contoh dua pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Fletcher, Kuala Lumpur yang sangat menerapkan amalan membaca buku tidak kira di rumah mahupun di sekolah.
Tingkat pengetahuan bahasa
Bagi Sabarikanthan Reddy Jayachandran, membaca membantunya memahami tatabahasa atau istilah dalam sesuatu bahasa.
Walaupun keluarganya kerap menggunakan bahasa Inggeris dan Tamil di rumah, dia mampu memahami serta fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Antara koleksi buku Sabarikanthan di rumahnya.
Ketika ditanya bagaimana caranya meningkatkan kemahiran itu, Sabarikanthan berkata, minatnya itu bermula sejak dia berumur lima tahun lagi dan membaca pelbagai jenis buku dan bahasa.
Katanya, membaca buku bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberikan manfaat besar termasuk pembelajaran bahasa dan pengetahuan baharu.
"Kalau baca buku, saya dapat belajar perkataan-perkataan baharu dan jika susah untuk difahami, boleh guna sahaja Google Translate.
"Saya boleh baca tiga buku dalam masa dua jam dan ia jenis novel yang tebal. Buku pertama dan kegemaran saya adalah 'The Beast and The Princess'.
"Sehingga sekarang, saya ada 50 jenis koleksi novel di rumah. Saya pula lebih suka baca novel dan komik kerana ada banyak gambar menarik," katanya kepada Majoriti.
Sabarikanthan (kiri) dan Pranav (kanan).
Kata Sabarikanthan, amalan itu juga amat diterapkan dan disokong penuh oleh ibu bapanya di rumah bagi mengelakkan anaknya ketagih dengan gajet atau media sosial.
Sabarikanthan berkata, ibu bapanya juga peminat novel sekali gus membuatkannya lebih bersemangat untuk membaca.
"Mereka selalu pesan kepada saya 'main ini (gajet) kamu dapat apa? Baca buku, dapat ilmu, dapat belajar bahasa'," jelasnya.
Pranav juga kerap meminjam buku setiap kali perpustakaan sekolah.
Terap nilai murni dan inspirasi
Mempunyai minat yang sama, rakannya, Pranav Varman Jegathesan tidak menolak membaca buku secara fizikal lebih menyeronokkan berbanding digital.
Menurutnya, membaca buku fizikal dengan jarak dekat atau dalam tempoh masa lama tidak menjadi masalah kerana ia tidak menjejaskan kesihatan mata jika mahu dibandingkan dengan skrin gajet yang boleh memberi kesan kepada penglihatan kanak-kanak.
Bagi Pranav, membaca boleh menerapkan nilai-nilai murni dan inspirasi untuk digunakan dalam kehidupan sehariannya.
Koleksi buku Harry Potter yang dimiliki Pranav.
"Saya sangat suka baca novel Harry Potter kerana terdapat banyak nilai-nilai baik yang boleh saya pelajari daripada kisah itu.
"Saya dapat belajar pentingnya persahabatan, contohnya bila kita ada banyak kawan, ia dapat bantu kita selesaikan sesuatu sebab ada dua atau tiga kawan yang baik.
"Ilustrasi dalam komik juga beri inspirasi untuk saya melukis secara digital dalam tablet. Saya pun minat lukisan 3D dan diinspirasikan daripada buku-buku yang saya baca," katanya.
Kedua-dua murid itu juga kerap meminjam buku setiap kali perpustakaan sekolah dan sekurang-kurangnya membawa pulang tiga buku dalam seminggu.
Menerusi membaca, terbuktilah bahawa ia menunjukkan bagaimana amalan itu dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan peribadi dan akademik.
Ia pada masa sama dapat menggambarkan keseimbangan antara membaca buku dan memanfaatkan teknologi dalam kalangan generasi muda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram