[VIDEO] Tiada alasan tinggal solat, Masjid An-Nur dalam pusat beli-belah JB jadi contoh terbaik


  • Massa
  • Rabu, 09 Okt 2024

Masjid An-Nur dihubungkan dengan Galleria@Kotaraya di Johor Bahru, Johor yang memudahkan urusan solat pelanggan dan para pekerja. — Facebook

MENUNAIKAN solat merupakan antara ibadah yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam tanpa mengira keadaan atau situasi.

Biarpun sibuk dengan tugas harian atau terikat dengan aktiviti lain seperti bekerja atau membeli-belah, umat Islam tetap diingatkan untuk menunaikan solat tepat pada waktunya.

Daripada Ibn Umar R.anhuma, beliau berkata, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya apakah perkara yang paling disukai oleh Allah SWT di dalam Islam? Nabi SAW bersabda:

"Solat pada waktunya, barang siapa yang meninggalkan solat, maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama”. (Riwayat al-Baihaqi (2550) di dalam al-Syu’ab).

BACA LAGI: Laungan 'Solatlah di rumah kamu' terpakai jika berlaku darurat dan musibah — Mufti

BACA LAGI: [VIDEO] Jaga posisi, gerakan ketika solat duduk dalam kereta api

2506714

Umat Islam diwajibkan untuk menyempurnakan ibadah solat walau di mana jua berada. — Gambar hiasan/Agensi

Bersyukur Malaysia negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, keperluan menunaikan solat di pelbagai tempat umum amat diberi perhatian oleh pihak-pihak bertanggungjawab.

Justeru, hampir setiap kawasan awam seperti stesen bas, pasar raya, stesen kereta api, stesen minyak dan taman perumahan disediakan surau atau masjid bagi memudahkan orang ramai menunaikan ibadah solat tanpa perlu bimbang terlepas waktu sepatutnya.

Melihat daripada aspek pusat beli-belah atau pasar raya, kebanyakannya menyediakan surau kecil yang mungkin hanya memuatkan kurang 30 jemaah lelaki dan perempuan dalam dalam satu masa.

Namun, tidak di Plaza Kotaraya, Johor Bahru, Johor yang menyediakan kemudahan masjid sekali gus mampu menampung sehingga 1,000 orang jemaah.

Galleria-@-Kotaraya3-e1438145935627

Satu-satunya pusat beli-belah yang menyediakan masjid di dalamnya untuk kegunaan umat Islam. — Facebook

Dibina pada 1991, Masjid An-Nur Kotaraya Johor Bahru itu terletak di dalam pusat beli-belah Galleria@Kotaraya dengan jumlah kos binaan kira-kira RM500,000.

Bukan sejarahnya yang mahu diceritakan, tetapi bagaimana ia mampu membantu mempermudahkan urusan para Muslimin dan Muslimat menunaikan ibadah.

Dengan wujudnya kemudahan seperti itu, tiada alasan lagi buat para pelanggan beragama Islam untuk meninggalkan solat kerana tempat solat dipenuhi jemaah.

Bukan itu sahaja, ia turut memudahkan pelanggan dan pekerja di pusat beli-belah terbabit terutamanya bagi golongan lelaki untuk melaksanakan ibadah solat Jumaat dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Bayangkan sekiranya mereka berada di dalam pasar raya yang tidak mempunyai kemudahan itu, pastinya akan mengambil masa lama untuk ke masjid berhampiran di luar atau terpaksa meninggalkan sahaja waktu solat itu.

Pengurusan dalaman masjid tersebut juga dilihat sangat teratur dan rapi dengan kemudahan tempat wuduk serta ruang solat yang bersih dan selesa untuk kegunaan semua.

Ini turut mencerminkan keprihatinan pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit dalam memenuhi keperluan spritual umat Islam untuk sentiasa menjaga hubungan dengan Tuhan.

Selain masjid An-Nur, surau di dalam pusat beli-belah IOI di Putrajaya juga antara yang terbesar dan boleh digunakan untuk solat Jumaat.

Dengan adanya masjid di dalam pusat beli-belah, umat Islam yang berada di luar kawasan kediaman bagi tempoh lama terutamanya pada musim perayaan seperti bulan Ramadan dan Aidilfitri, apabila lokasi itu menjadi tumpuan utama untuk persiapan hari raya.

Disebabkan itu, kemudahan sedemikian perlu diperluaskan lagi di pasar raya atau pusat beli-belah lain agar dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam berhubung kepentingan menjaga solat.

Ia juga boleh menunjukkan imej baik kepada pelancong Muslim yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram