[VIDEO] Desak hukuman sebat di tempat awam supaya kejadian samseng di LTAS tidak berulang


  • Massa
  • Rabu, 09 Okt 2024

Tangkap layar video tular memaparkan sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng memukul seorang lelaki lain berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

KES jenayah samseng dan keganasan di Malaysia semakin membimbangkan apabila beberapa kejadian terbaharu mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Malah, ada dalam kalangan rakyat semakin lantang menggesa kerajaan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat, termasuk hukuman sebat terhadap pelaku jenayah samseng.

Manakan tidak, melalui video tular sejak Selasa, sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor dengan memukul seorang lelaki lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Kecil-kecil sudah resap semangat tentera, anak jati Johor Bahru jadi watak penting BlackParade Tactics

BACA LAGI: 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

Walaupun suspek menyedari perbuatan mereka dirakam, namun, ia tidak menghalang mereka untuk terus menendang dan memukul mangsa dengan batang kayu.

Insiden tersebut sekali gus membuka mata masyarakat terhadap bahaya yang dibawa oleh gejala samseng yang kian berleluasa.

Seorang warga maya, Hafizul Ahmad berpendapat, sekiranya kerajaan tidak tegas atau melaksanakan hukuman yang lebih berat, kejadian samseng seperti itu akan semakin meningkat.

"Kita tidak lagi rasa selamat di negara sendiri. Kerajaan perlu bertindak tegas untuk menghentikan samseng-samseng ini.

"Hukuman yang sedia ada nampaknya tidak cukup untuk menghalang mereka daripada terus melakukan jenayah. Sekadar cadangan, mungkin bolejh laksanakan hukuman rotan di tempat awam," katanya.

Sementara itu, seorang lagi warganet, Kevin Fernandez menggesa agar hukuman sebat dan rotan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam jenayah samseng.

"Sebat lebih daripada 10 kali, mesti serik nak tunjuk samseng mereka itu. Sejujurnya, budaya samseng ini tidak patut dibiarkan.

"Laksanakan hukuman rotan di tempat awam bagi memberi pengajaran kepada pelaku," tulisnya.

Cadangan Kevin itu turut dipersetujui seorang warga maya, Laxmi Ganth.

"Sebat sampai mereka tidak boleh buang air besar," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, polis menahan tujuh individu selepas disyaki terbabit dalam insiden di LTAS tersebut.

"Kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan sekitar Skudai dan Johor Bahru.

"Hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah kerana perselisihan faham yang bermula dengan perebutan tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

"Mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali, mula berselisih faham menerusi teguran di antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram