Sebelum industri automotif, Suzuki sebenarnya bermula sebagai alat tenun tekstil di kampung kecil Jepun


  • Bizz
  • Ahad, 06 Okt 2024

Jenama Suzuki terus mencipta produk yang dipercayai dan memberikan nilai unggul kepada pengguna di seluruh dunia. — Agensi

JENAMA Suzuki sememangnya dikenali sebagai salah satu entiti terkemuka dalam industri automotif dan motosikal global.

Namun tahukah anda, Suzuki pada awalnya bukanlah sebuah syarikat automotif?

Syarikat yang diasaskan pada 1909 oleh Michio Suzuki bermula dengan menghasilkan alat tenun untuk industri tekstil di Hamamatsu, Jepun. Syarikat itu dikenali sebagai Suzuki Loom Works.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

WhatsApp Image 2024-10-04 at 14.15.21 (2)

Michio Suzuki bermula dengan menghasilkan alat tenun untuk industri tekstil di Hamamatsu, Jepun. — Agensi

Dilahirkan pada 18 Februari 1887, Suzuki membesar di Nezumino-mura, sebuah perkampungan kecil yang hanya terdiri daripada 32 rumah sahaja.

Beliau mula mengukir nama dalam sejarah industri automotif dunia dengan permulaan yang sederhana.

Sebagai anak kedua kepada seorang peladang, Suzuki menghabiskan zaman kanak-kanaknya dengan memetik kapas. Pada masa itu, mesin dan elektrik adalah sesuatu yang asing bagi penduduk di kampungnya.

Namun di sebalik keterbatasan itu, aktiviti menenun masih menjadi kemahiran utama bagi masyarakat di Nezumino-mura.

Membesar dengan bunyi tenunan di sekelilingnya, tidak hairanlah alat tenun yang diperbuat daripada logam dan kayu menjadi produk sulung ciptaan ahli perniagaan itu, yang dibuat khas untuk ibunya.

Keupayaan alat menenun itu, yang sepuluh kali lebih cepat berbanding model sebelumnya membuktikan ciptaan Suzuki lebih praktikal dan bersifat revolusi.

Situasi itu seterusnya membuka laluan masa depan yang lebih cerah buat Suzuki.

WhatsApp Image 2024-10-04 at 14.15.21

Motosikal Coleda yang dicipta syarikat Suzuki pada 1955. — Agensi

Pinjam tanah tubuh syarikat pertama

Kejayaan menghasilkan mesin tenunan berkenaan tersebar dengan pantas dan beliau mula menerima tempahan.

Dengan keyakinan baharu hasil kejayaan pertama itu, Suzuki yang berusia 21 tahun ketika itu memulakan syarikat pertama yang dinamakan Suzuki Loom Manufacturing pada 1909.

Syarikat itu dibina di atas tanah seluas 200 meter persegi yang dipinjam daripada penduduk setempat.

Berbekalkan sifat kebergantungan diri yang kuat, Suzuki mula mencipta lebih banyak alat tenun yang berjaya melonjakkan nama dan reputasinya sebagai pencipta yang inovatif.

Figura Suzuki semakin meraih perhatian apabila mengeluarkan Sarong Loom, mesin tenunan kain sarung yang berjaya dieksport hampir keseluruhan Asia Tenggara sekitar 1930.

Kejayaan produk tersebut meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan syarikat Suzuki dan ia menjadi pencapaian terpenting bagi perniagaan yang semakin berkembang itu.

WhatsApp Image 2024-10-04 at 14.15.21 (1)

Suzuki mencipta alat tenun yang diperbuat daripada logam dan kayu khusus buat ibunya. — Agensi

Suzuki hanya mula menceburkan diri dalam industri automotif pada 1937 apabila mereka mula bereksperimen dengan kenderaan kecil.

Mereka mencipta prototaip kereta kecil dengan enjin empat lejang 800cc, tetapi projek tersebut terhenti akibat Perang Dunia Kedua.

Selepas perang, Suzuki kembali kepada pengeluaran alat tenun. Pada awal 1950-an, berlaku perubahan dalam industri tekstil di Jepun.

Permintaan yang berkurangan memaksa Suzuki untuk menerokai bidang baharu, yang menyebabkan mereka kembali kepada industri automotif.

Selepas Perang Dunia Kedua, ketika Jepun sedang berusaha memulihkan negaranya dan mempercepatkan perindustrian, Suzuki sedar bahawa ia adalah masa yang tepat untuk beliau dan syarikatnya berkembang.

Tekstil menjadi salah satu industri utama Jepun pasca perang, bersama-sama dengan pembinaan kapal dan kereta api.

suzuki4

Model kereta pertama keluaran syarikat Suzuki. — Agensi

Dalam semangat inovasi, Suzuki mula mempelopori pembangunan kenderaan mini pertama di Jepun, meskipun kebanyakan syarikat lain lebih menumpukan perhatian pada kereta besar.

Ini kerana Suzuki percaya bahawa terdapat keperluan untuk kereta kecil yang praktikal dan mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.

Motosikal pertama

Suzuki kemudian melancarkan Power Free, motosikal kecil dengan enjin 36cc pada 1952.

Keunikan motosikal tersebut adalah ia direka dengan sistem dua gear yang membenarkan penunggang sama ada mahu mengayuh sepenuhnya atau menggunakan kuasa enjin.

Kejayaan motosikal itu juga membawa Suzuki ke dalam industri motosikal secara besar-besaran.

Inovasi terus menjadi tunjang kepada kemajuan syarikat Suzuki dan menjelang 1954, hanya dua tahun selepas memperkenalkan motosikal bermotor pertama, syarikat itu dinamakan semula sebagai Suzuki Kabushikigaisha (Syarikat Motor Suzuki).

SUZUKI

Suzuki terus berkembang menjadi sebuah syarikat automotif global. — Agensi

Dari alat tenun kepada motosikal, kereta dan van, Suzuki terus berkembang menjadi sebuah syarikat automotif global.

Michio Suzuki terus menyumbang dalam reka bentuk enjin syarikat dan kekal sebagai presiden sehingga pertengahan 1950-an sebelum bersara pada usia 70-an dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada anaknya.

Usahawan itu meninggal dunia pada 27 September 1982, meninggalkan legasi besar dalam industri automotif.

Hingga ke hari ini, jenama Suzuki kekal teguh, dengan syarikatnya terus mencipta produk yang dipercayai, cekap dan benar-benar memberikan nilai unggul kepada pengguna di seluruh dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram