MAHKAMAH Persekutuan mengekalkan hukuman mati pada Selasa ke atas bekas peguam dan pekerja ladang susulan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya 14 tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan pemohon, N. Pathmanabhan, 54, dan T. Thilaiyalagan, 32, untuk membatalkan hukuman tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pekerja ladang, R. Kathavarayan, 44, yang juga dijatuhkan hukuman mati menarik balik permohonannya untuk disemak semula sekali gus menyebabkan hukumannya dikekalkan oleh mahkamah.
BACA LAGI: [VIDEO] Macam tiada akal waras, geng rempit buat onar angkut motor masuk tandas awam di Bintulu
Empat orang mangsa yang terbunuh dalam peristiwa itu.
Tengku Maimun memutuskan permohonan itu ditolak dan kesemua tertuduh dikenakan hukuman mati.
Dua tertuduh itu sebelum ini memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.
Bagaimanapun, pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati kepada semua perayu selepas mendapati mereka bersalah kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didapati bersalah melakukan jenayah itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Pada 4 Disember 2015, Pathmanabhan, R. Matan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.
Pada 16 Mac 2017, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, dan Kathavarayan kekal dihukum gantung selepas rayuan mereka ditolak sekali lagi, walaupun R. Matan, 33, berjaya dalam rayuannya dan panel lima hakim membenarkan dia dibebaskan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram