LELAKI orang kurang upaya (OKU) mental yang didakwa membunuh bapanya di rumah mereka di Kampung Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Sabtu sempat membeli pisau lipat di sebuah kedai, sebelum tiba-tiba rebah di tepi jalan.
Peniaga kedai buah, Lee Kien Huei, 40, berkata, dia mengetahui tentang kejadian itu selepas polis memaklumkan bahawa suspek telah datang ke kedainya di Pekan Senaling.
Menurutnya, suspek datang ke kedainya untuk membeli pisau, namun dia memberi alasan bahawa senjata itu tiada.
BACA LAGI: Pereka dalaman tinggal sendirian di apartmen di Sri Damansara maut kena tikam 20 kali
"Apabila saya nampak dia tidak jauh dari kedai, saya segera menghubungi polis. Suspek kemudian masuk ke kedai ini untuk membeli pisau, tetapi saya menyuruhnya pergi ke kedai lain dengan alasan tiada pisau di sini.
"Pada masa itu saya nampak dia 'berbeza' dan mulutnya juga berdarah," katanya.
Lelaki warga emas meninggal dunia akibat ditikam oleh anaknya, pemegang kad OKU. — Gambar hiasan
Kien Huei berkata, suspek kemudian dilihat pergi ke kedai berdekatan dan membeli pisau di situ, namun tiba-tiba rebah di tepi jalan.
Jelasnya, pada masa sama, pihak polis juga tiba di tempat kejadian.
"Selepas pemeriksaan, mereka mendapati suspek sudah meninggal dunia dengan terdapat buih di mulutnya," katanya.
Sementara itu, Kien Huei berkata, dia mengenali suspek sebagai anak kepada mangsa yang merupakan pesara guru, dan turut mengetahui suspek mengalami masalah mental.
Bagaimanapun ujarnya, suspek tidak pernah mengganggu sesiapa dan pernah beberapa kali datang ke kedainya dengan gayanya juga kelihatan seperti individu normal.
"Saya juga agak rapat dengan mangsa kerana dia selalu datang ke kedai dan berita yang berlaku benar-benar mengejutkan kami," katanya.
Dalam pada itu, anak murid kepada isteri Allahyarham, yang ingin dikenali sebagai Aina, 24, turut menggambarkan mangsa dan isterinya sebagai orang baik yang sering membantunya.
Aina berkata, dia juga tahu bahawa mereka mempunyai seorang anak yang mengalami masalah mental.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang lelaki warga emas meninggal dunia akibat ditikam oleh anaknya, pemegang kad OKU, 32, di rumah mereka.
Kejadian pada pukul 4.30 petang itu dikatakan berlaku apabila mangsa cuba menenangkan anaknya yang dipercayai mengalami halusinasi, namun anaknya bertindak agresif dan menikamnya.
Selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri dengan menggunakan kereta dan berjaya ditemui di tepi jalan Pekan Senaling dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram