Laporan kimia belum siap, sebutan semula kes Farah Kartini ditangguhkan 10 Disember


Muhammad Alif (Mengguna pelitup muka) didakwa atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

MAHKAMAH Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Isnin menetapkan 10 Disember bagi sebutan semula kes anggota polis, Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Memetik laporan Harian Metro, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan kimia dan laporan bedah siasat masih belum diperoleh.

"Saya mohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes," katanya.

Pada masa sama, peguam Nur Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh tidak membantah, namun memohon tarikh sebutan yang lebih lama.

BACA LAGI : Selisih faham motif pembunuhan Nur Farah Kartini — KP Selangor

BACA LAGI : Sampel DNA sepadan, jenazah Nur Farah Kartini diserah famili hari ini

Turut hadir, tiga peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa iaitu Mohd Norazihan Adnan, Luqman Hakim Azhar dan Goh Chee Kian.

Pada Ogos lalu, Majoriti melaporkan Mahkamah Majistret yang sama menetapkan 7 Oktober bagi sebutan semula kes mangsa.

Untuk rekod, Muhammad Alif, 26, didakwa atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

2808139

Nur Farah Kartini ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ladang kelapa sawit SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam,Selangor antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayatnya ditemukan kira-kira pukul 6 petang pada 15 Julai lalu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram