[VIDEO] Pemandu nyaris 'penyek', kereta remuk dihempap bangunan runtuh di Semenyih


  • 112
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Tangkap layar sebuah kereta remuk dihempap bangunan runtuh di Semenyih, Selangor pada Jumaat.

SEBUAH kereta rosak akibat dihempap runtuhan dinding bangunan rumah kedai lama di Semenyih, Selangor pada Jumaat.

Insiden itu turut dirakam oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Menurut info yang dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp berkenaan, dinding tersebut secara tiba-tiba runtuh dan menghempap kenderaan jenis Proton Wira terbabit.

"Dinding tiba-tiba runtuh. Nasib baik pemilik kenderaan keluar beli barang. Panjang umur, habis bumbung Wira penyek," kata Azri.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Dan Kebombaan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian berlaku ketika pemilik kereta keluar ke kedai berhampiran.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 4.58 petang.

"Sejurus kereta berkenaan diparkir berhampiran lokasi runtuhan, pemandunya pergi ke kedai berhampiran.

"Dinding bangunan rumah kedai itu kemudiannya runtuh sebelum menghempap kereta berkenaan.

"Bangunan kedai tersebut katanya adalah struktur bangunan lama dan tidak lagi beroperasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa dan kes itu diserah kepada Majlis Perbandaran Kajang untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram