[VIDEO] Mengucap tengok budak tercampak keluar kereta ketika U turn, kena rempuh 2 kenderaan di lampu isyarat


  • Tular
  • Selasa, 17 Okt 2023

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak yang tercampak keluar dari sebuah kereta.

SEORANG budak perempuan dipercayai tercedera selepas tercampak keluar dari sebuah kereta ketika kenderaan terbabit sedang membuat pusingan U di lampu isyarat berdekatan Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Insiden itu disyaki berlaku akibat kecuaian pemandu kenderaan yang mungkin tidak mengunci pintu di bahagian penumpang belakang sekali gus menyebabkan kanak-kanak malang itu terpelanting ke tengah jalan.

Lebih parah apabila si kecil itu kemudiannya dirempuh sebuah kereta berwarna putih dan sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Ativa merah yang gagal menekan brek dan mengelak daripada pelanggaran tersebut.

Menyedari kejadian itu, beberapa penunggang motosikal kemudiannya terus meluru ke arahnya untuk memberikan bantuan.

Dalam pada itu, kanak-kanak terbabit kelihatan masih lagi boleh berdiri dan terus berlari ke arah seorang penunggang yang berada di kawasan itu.

Susulan insiden tersebut, laluan terbabit bertukar sesak dan kereta yang membawa kanak-kanak itu tidak kelihatan selepas daripada kejadian berkenaan.

Di ruangan komen rata-ratanya meluahkan rasa kesal terhadap insiden yang berlaku.

"Ya ALLAH, mengucap aku tengok budak itu kena rempuh, ibu bapa dia langsung tak peka keselamatan anak, tak kunci pintu belakang ke macam mana," kata Syazwani.

"Sebab itu kerajaan mewajibkan pemakaian kerusi kanak-kanak, nak elak kes macam ini berlaku, kalau kena tahan mesti ibu bapa dia akan dikenakan saman," ujar Hamadi Yusri.

"Sakitnya budak itu terpelanting, tengok pun tahu mesti sakit kepala berdarah dan bengkak, yang pemandu Ativa itu langsung tak keluar kereta kenapa?!," tambah Ahmad Kamalrudin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, insiden berkenaan dipercayai akibat kegagalan pemandu kereta yang dinaiki kanak-kanak itu untuk memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup kemas serta tidak memastikan kanak-kanak berkenaan memakai tali pinggang keledar.

"Kami dalam usaha mengesan kenderaan yang terlibat serta kanak-kanak itu dan siasatan masih dijalankan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Rabu.

Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau turut meminta orang yang melihat kejadian, pemandu kenderaan terlibat dan perakam video tampil membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram