Import lembu, kerbau dari Australia digantung sementara


  • Primer
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

DVS melaksanakan survelan aktif ke atas ladang lembu dan kerbau di Selangor. — DVS

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengeluarkan arahan penggantungan sementara import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia pada 4 Ogos lepas (2023).

Ini berikutan laporan akhbar mengenai penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) oleh pihak berkuasa Indonesia pada lembu yang diimport negara itu dari Australia dan pengesahan tentang laporan telah dibuat oleh DVS dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

DVS dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan penggantungan itu bersifat sementara dan diambil sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya dakwaan pihak berkuasa Indonesia itu benar memandangkan Malaysia turut mengimport lembu dan kerbau dari Australia dengan nilai import sebanyak RM25,547,355.

Susulan penggantungan import tersebut, sesi libat urus antara DVS dan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia telah diadakan pada 7 Ogos lepas.

Menurut DVS, DAFF bersetuju untuk berkongsi laporan hasil siasatan berkaitan dakwaan dari pihak Indonesia tersebut dan oleh yang demikian, DVS sedang menunggu laporan penuh dari DAFF bagi tindakan selanjutnya.

"Untuk memastikan sektor ternakan dalam negara terjamin dan bebas daripada sebarang risiko penyakit, DVS sentiasa memastikan semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut protokol dan tatacara yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia," menurut DVS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



lembu, kerbau, import, gantung, DVS,