MENJADIKAN ibu sebagai sumber inspirasi bukan sahaja membentuk kejayaan Nor Affira Mohd Affendi, malah turut mencorakkan keseluruhan perjalanan hidupnya.
Mengenali usahawan cantik manis berusia 33 tahun ini, kehidupannya boleh dikatakan agak unik.
Berlatarbelakangkan pendidikan dalam bidang pelancongan, bekas ketua jabatan di sebuah bank ini kini mencipta nama sebagai usahawan e-dagang yang berjaya.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Usahawan ini bekerja siang dan malam dalam usaha untuk mengembangkan bisnesnya.
Berkongsi tentang permulaan kariernya sebagai usahawan, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini mula berjinak-jinak dalam perniagaan sejak 2018 secara sambilan, ketika masih berkhidmat di bank.
Perjalanannya dalam dunia e-dagang bermula apabila seorang rakan memperkenalkannya kepada platform Lazada. ketika itu, dia menjual pakaian Muslimah seperti sarung tangan, stoking dan telekung.
Akuinya, pengalaman awal menjual tudung di platform e-dagang tersebut menjadi titik tolak atas kejayaan besar yang dikecapinya kini.
Bermula tanpa sebarang modal, dengan berkat sokongan rakannya itu, Nor Affira berjaya menjual tudung sekolah sebagai produk pertama.
Hanya dalam tempoh beberapa bulan kemudian, anak kedua daripada lima beradik itu mula sedar wujud potensi besar dalam perniagaan e-dagang apabila jualannya mula meningkat mendadak.
Kempen 11.11 anjuran Lazada pada tahun sama, menjadi titik tolak yang membuatkan dirinya nekad untuk melepaskan dunia korporat yang diceburinya sejak umur 20 tahun dan terjun dalam bidang penuh risiko.
"Dalam kempen tersebut, saya tidak menyangka mampu menjual tudung jenis Tire Beads, dengan jualan mencecah RM50,000 dalam tempoh 24 jam sahaja," katanya kepada Majoriti.
Namun, kejayaan itu turut disertai cabaran besar apabila pemegang sijil profesional dari Institut Pelancongan Dian Sdn Bhd itu terpaksa mencari stok tambahan untuk memenuhi ribuan pesanan yang diterimanya.
"Saya tidak bersedia dengan stok yang banyak kerana masih dalam fasa mencuba, tetapi syukur Alhamdulillah saya berjaya meyakinkan pembekal untuk memberikan kredit sementara menunggu pembayaran daripada Lazada," jelasnya yang mengakui pengalaman ini adalah titik perubahan dalam kerjayanya.
Kejayaannya membuka peluang ibu kepada tiga anak perempuan ini kepada satu penerokaan baharu yang sudah lama diimpikan.
Selepas puas memujuk ibu agar yakin dan percaya dengan keputusan besar itu, usahawan berkenaan kemudian memutuskan untuk berhenti dari pekerjaan tetapnya di bank dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap dunia perniagaan.
Nor Affira menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi baik dalam bidang perniagaan mahupun kehidupan.
Mempertaruhkan NSA Glamorous dan D'Songket sebagai jenama fesyen miliknya, Nor Affira berjaya mencipta identiti yang kukuh dalam pasaran fesyen tempatan.
Aktif mempromosikan produknya menerusi platform e-dagang, dia tidak menjangka jualannya kini mampu meraih pendapatan sehingga enam angka sebulan.
"NSA Glamorous memfokuskan pada pemakaian harian kaum wanita, manakala D'Songket menawarkan pelbagai pilihan sampin tenunan tangan oleh artisan yang didatangkan khas dari Terengganu, Pahang, India dan Brunei.
"Kami akan memastikan setiap helai sampin dihasilkan dengan bahan terbaik dan mengekalkan standard kualiti tertinggi," jelasnya.
Dalam pada itu, Nor Affira turut menganggap tersenarai sebagai Usahawan eCommerce Terbaik oleh Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) pada 2023-2024 sebagai antara kejayaan besar bagi D'Songket dan NSA Glamorous.
Baginya, pengiktirafan tersebut juga membuktikan segala usaha keras, siang dan malam yang telah diluangkan untuk membina perniagaan ini, berbaloi.
"Saya masih ingat lagi saya terpaksa berjaga sehingga lewat malam semata-mata untuk membungkus pesanan termasuk mengorbankan hujung minggu bersama anak-anak demi memastikan bisnes sentiasa beroperasi dan kekal relevan.
"Ada masa saya berdepan cabaran dalam pengurusan masa dan tekanan untuk mengembangkan perniagaan, namun saya perlu bertahan demi keluarga," kongsinya lagi.
Nor Affira kini merupakan jurulatih perniagaan e-dagang atau dikenali sebagai Lazada Certified Trainer.
Jual kangkung seawal usia tujuh tahun
Mengagumi kekuatan ibunya yang juga seorang ibu tunggal, Nor Affira bercerita, sedari kecil dia sudah terbiasa membantu ibunya berniaga sayur-sayuran untuk menyara mereka sekeluarga.
Berniaga sayur seperti kangkung dari rumah ke rumah, boleh dikatakan sebagai salah satu rutin hariannya sejak berusia tujuh tahun lagi.
"Memang dari kecil saya dah bantu ibu, jadi rasanya sejak itu saya gemar berniaga. Mungkin darah usahawan itu sudah mengalir dalam diri.
"Sebelum berada dalam lapangan fesyen tempatan juga, saya pernah cuba menjual barangan lain secara sambilan, namun tidak berjaya," ujarnya yang kini dalam proses menghasilkan sebuah buku berkenaan topik e-dagang, sebagai rujukan individu yang hendak memulakan bisnes dalam talian.
Bisnes berkembang semasa Covid-19
Berkongsi mengenai jualan ketika pandemik Covid-19, ahli perniagaan wanita itu mengakui, dia tidak melihat krisis kesihatan itu sebagai satu halangan, malah ia membuka lebih banyak peluang untuk perniagaannya berkembang lebih jauh.
Menariknya, perniagaannya mampu menjana pendapatan lebih tinggi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), melalui jualan pakaian rumah dan produk yang relevan dengan situasi pada masa itu.
"Kami menjual apa sahaja yang bersesuaian, termasuk baju kaftan dan cecair pembasmi kuman," tambahnya.
Nor Affira berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menceburi perniagaan dalam talian.
Jurulatih e-dagang bertauliah
Bukan sahaja cantik dan ramah, wanita ini juga dikenali sebagai seorang yang hebat dalam berkomunikasi.
Justeru tidak hanya mampu membina empayarnya sendiri, Nor Affira kini juga merupakan jurulatih perniagaan e-dagang yang diiktiraf Lazada, dikenali sebagai Lazada Certified Trainer.
Usahanya diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu usahawan baharu mendalami selok-belok jualan dalam talian.
Katanya, platform e-dagang seperti Lazada turut menyediakan khidmat sokongan kepada peniaga baharu bagi mendapatkan tip dan perkongsian daripada individu yang sudah berjaya.
"Melalui latihan dan bimbingan, saya berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menceburi perniagaan dalam talian dengan penekanan perlulah diberikan pada aspek penjenamaan.
“Tanpa penjenamaan yang kukuh, sukar untuk mana-mana pihak kekal dan bersaing dalam pasaran e-dagang.
"Anda perlu ada identiti tersendiri supaya dapat bertahan terutamanya dalam persaingan harga yang sengit,” titipnya sebelum mengakhiri bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram