SEORANG lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes tembakan sehingga mengakibatkan seorang individu cedera di Kampung Sumpit Beras, Rantau Panjang dekat Selama, Perak, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Selama Superintenden Sarudin Samah berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, suspek yang juga pemilik kebun sawit itu berjaya ditahan polis pada Sabtu.
Menurutnya, suspek ditahan pada pukul 3 petang dan polis juga menemukan selaras senapang patah di kebun milik suspek.
BACA LAGI: [VIDEO] Anggota tentera selisih maut, tersangkut tiang lampu ketika mendarat guna payung terjun
BACA LAGI: Operasi Malbatt di Lubnan dihentikan, anggota tentera kena berlindung dalam 'bunker drill'
Mangsa sebelum itu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit. — Gambar hiasan
“Siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1971 (Penalti Lebih Berat),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sarudin memaklumkan, polis pada Jumaat menerima maklumat daripada Bahagian Kecemasan Hospital Selama kira-kira pukul 7.50 malam, berhubung kejadian seorang lelaki cedera di kaki kiri akibat terkena tembakan.
Tambahnya, mangsa sebelum itu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit bersama seorang lagi rakannya yang turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.
“Dengan tertangkapnya suspek maka kes dianggap selesai dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram