[VIDEO] Enggan serah diri lepas langgar kereta orang, lelaki agresif bawa pisau tewas kena tahan polis


  • Tular
  • Sabtu, 05 Okt 2024

Lelaki berkenaan ditahan selepas polis dan bomba menghabiskan masa memujuknya untuk membuang alatan tajam itu.

SEORANG lelaki ditahan pihak berkuasa selepas mengancam keselamatan anggota polis yang cuba membantunya setelah dia mengalami kemalangan di Jalan Expressway Samarahan-Kuching, Sarawak berhampiran sebuah pusat beli-belah, pada Sabtu.

Insiden sempat dirakam orang awam memaparkan individu berbaju kelabu dan berseluar pendek itu berada dalam keadaan tidak stabil selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya terbabas ke dalam sebuah paya.

Difahamkan, kemalangan berpunca selepas lelaki itu terbabas ketika sedang cuba melarikan diri daripada pihak polis setelah mengakibatkan kemalangan membabitkan empat kenderaan lain di lebuh raya berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden baling botol SUKMA disiasat bawah Seksyen 506 KK — Polis Sarawak

BACA LAGI: Tentera maut terkena tembakan pemburu haram ketika jalani latihan di Sarawak

Lelaki berkenaan bagaimanapun enggan dibantu, malah membawa sebilah pisau dapur pendek ketika anggota polis cuba membawanya keluar, namun tindakan tersebut mencetuskan kegusaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.35 pagi apabila anggota dari Unit Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai Perodua Myvi terbabas di tepi jalan.

Menurutnya, semasa anggota polis cuba memberikan bantuan dan mengeluarkan pemandu dari kenderaannya, tiba-tiba dia mengacukan pisau ke arah mereka.

“Polis cuba menenangkan lelaki berkenaan namun dia gagal memberikan kerjasama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jaimi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dalam perjalanan dari Kuching ke Kota Samarahan sebelum kereta yang dipandunya merempuh empat kenderaan lain sehingga menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

Ujarnya lelaki berusia 24 tahun itu kemudian ditahan dengan bantuan anggota bomba yang turut berada di lokasi.

"Sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan suspek turut dirampas.

"Suspek akan direman esok (Isnin) untuk siasatan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya," maklumnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram