Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta


  • Bizz
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Seramai 20 petani terlibat dalam program IPT-INTAN yang menukarkan tanah terbiar kepada kawasan pertanian di Putrajaya.

BARU-BARU ini, Kementerian Ekonomi tampil berkongsikan perkembangan mengenai Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dilaksanakan bagi membantu membangunkan ekonomi rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah menerusi pertanian.

Menerusi satu video dimuat naik di media sosial, inisiatif tersebut dilapor kini berjaya menukarkan sebuah tanah terbiar berkeluasan 20 ekar (8 hektar) terletak di Putrajaya menjadi kawasan pertanian fertigasi cili.

Difahamkan setakat musim pertama iaitu untuk tempoh enam bulan, kawasan tersebut berjaya mengeluarkan sebanyak 40 tan cili yang bernilai RM480,000.

BACA LAGI: 'Ada kutuk, perlekeh', pensyarah ADTEC Pahang buktikan inovasi bantu OKU beri pulangan RM80,000

BACA LAGI: Sakit kulit dihidapi jadi ilham Sarah bina Cuura, muncul jenama produk kulit sensitif dipercayai pengguna

Lebih menarik, kesemua petani yang menyertai inisiatif berkenaan berjaya mendapat pendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Untuk rekod, di bawah program tersebut, Kementerian Ekonomi menyediakan segala keperluan infrastruktur yang diperlukan meliputi polibeg, benih dan tanah.

6188085784138072453

Setakat musim pertama, kawasan tersebut berjaya mengeluarkan sebanyak 40 tan cili yang bernilai RM480,000.

Disebabkan itu, mereka tidak perlu mengeluarkan modal untuk memulakan aktiviti pertanian.

Selain itu, video terbabit turut menyatakan bahawa kesemua petani terlibat juga tidak perlu risau untuk mencari pembeli kepada produk pertanian mereka.

Ini kerana menurutnya, hasil tanaman tersebut ketika ini bersedia untuk dibeli oleh syarikat gergasi dalam bidang pemakanan termasuk Nestle dan Giant.

Dalam pada itu, menerusi klip tersebut, Kementerian Ekonomi turut memaklumkan bahawa untuk musim kedua, kawasan pertanian akan beroperasi dengan kapasiti penuh dan menghasilkan kira-kira 100 tan cili bernilai RM1.2 juta.

Jadi petani dalam tempoh 2 minggu

Ketua Peserta Projek IPR-INTAN Putrajaya, Luqman Nur Hakim Alias, 33, berkata, ladang tersebut ketika ini diusahakan seramai 20 peserta terdiri daripada kumpulan B40 dan asnaf.

Ujarnya, di bawah program tersebut, kesemua peserta terbabit yang hadir daripada pelbagai latar belakang dan tidak memiliki kemahiran skil pertanian akan dilengkapkan dengan setiap kemahiran diperlukan.

"Maknanya kita akan ajar segala aktiviti dan prosedur operasi standard (SOP) yang mereka perlu lakukan di ladang satu persatu. Daripada buat semaian, penyegaran, pengubahan pokok, pembajaan sehinggalah meracun dengan menggunakan kaedah sistem fertigasi.

"Jadi bila aktiviti ini mereka hari-hari dah buat dan kita pantau, biasanya dalam tempoh dua minggu mereka dah boleh kuasai apa yang diajar dan bersedia dengan segala kemahiran yang diperlukan untuk jadi petani," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-08-14 at 17.41.45

Ketua Peserta Projek IPR-INTAN Putrajaya, Luqman Nur Hakim Alias.

Mesra disapa Luqman, lelaki itu berkata, di bawah program tersebut, setiap peserta ditugaskan untuk menjaga satu plot tanah seluas kira-kira setengah ekar yang mengandungi 2,000 pokok cili.

Ujarnya, berdasarkan hasil tuaian musim pertama, kesemua peserta dianggar berjaya mendapatkan gaji bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 setiap bulan.

"Pendapatan yang diperoleh peserta bergantung kepada hasil tuaian berdasarkan plot masing-masing," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua peserta terbabit dijangka akan berada di bawah program tersebut selama empat musim, iaitu kira-kira dua tahun sebelum dilepaskan.

"Jadi selepas itu mungkin mereka dah lebih bersedia dan ada modal untuk buka ladang dan jadi petani di luar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram