CABARAN pasangan kembar, Farah Nadia Muhammad Sabri dan Farah Lyana, 33, menikmati sesi senaman Pilates dengan berpakaian menutup tubuh mendorong dua beradik itu untuk mengusahakan studio senaman Bliss Society.
Selama bertahun-tahun menyertai sesi studio-hopping mengikut kelas senaman Pilates, mereka mendapati tiada lagi premis di sekitar Lembah Klang dan Selangor yang menguruskan studio mesra hijab.
Kedua-duanya mengakui agak sukar untuk mencari studio senaman yang selesa untuk memakai pakaian senaman tidak menonjolkan bentuk tubuh.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Pernah, mereka dipersoal tentang pemilihan persalinan dan tudung untuk bersenam kerana jurulatih tidak dapat melihat pergerakan badan sepenuhnya.
Rutin Pilates sederhana, namun ia menekankan tahap kardio tinggi dengan menggunakan peralatan dan mesin khas, justeru, persalinan longgar dianggap mengganggu pergerakan.
Pilates adalah sejenis senaman minda tubuh yang dibangunkan pada awal abad ke-20 oleh jurulatih fizikal kelahiran Jerman, Joseph Pilates.
Sebagai jurulatih Pilates, kata Farah Nadia, pemilihan persalinan aktif tidak seharusnya dijadikan sebab untuk menghalang wanita terus bersenam dan memilih aktiviti digemari.
Bliss Society ingin dikenali sebagai studio yang dapat menjadi tempat selamat untuk wanita bersenam.
Tenaga pengajar
“Sebelum ini, saya anjurkan kelas secara percuma buat wanita Muslimah. Ramai mencari studio yang membolehkan mereka memakai apa sahaja ketika bersenam.
“Jadi, berdasarkan pengalaman saya mula memikirkan studio yang dapat menjadi tempat selamat untuk wanita bersenam,” katanya.
Jelasnya, ramai peserta wanita mengakui mereka kurang selesa melakukan aktiviti senaman jika ada lelaki di bilik sama.
Justeru, dalam tempoh dua bulan bermula November 2023, Farah Nadia dan Farah Lyana mula mencari lokasi terbaik untuk menjalankan operasi komuniti Pilates, Bliss Society di Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Antara peralatan menguji ketahanan diri yang disediakan di Bliss Society. — Instagram/blisssociety.kl
Bagi membantu pengurusan perniagaan, Farah Lyana yang juga graduan perubatan Sekolah Perubatan Antarabangsa, Bangaluru, India dalam perancangan untuk meninggalkan dunia perubatan swasta.
Bliss Society turut mengupah empat tenaga pengajar sepenuh masa untuk menguruskan sesi Pilates tikar dan Pilates reformer yang menggunakan mesin khusus menguji ketahanan diri.
Bagi Farah Lyana (kiri) dan Farah Nadia (kanan), persalinan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk wanita terus bersenam.
Kafe mini
Studio itu turut dilengkapi pelbagai kelas untuk pemula termasuk Pilates tikar yang menggabungkan penggunaan alat seperti dumbel, penggelek, gelang Pilates dan theraband (jalur elastik tebal).
Farah Nadia yang juga bekas jurutera minyak dan gas mengakui pada mulanya dia agak bimbang untuk menjalankan studio berkenaan.
Graduan Institusi Teknologi Stevens, New Jersey, Amerika Syarikat itu berkata, dia juga khuatir tentang persaingan dengan studio lebih berpengalaman di sekitar Lembah Klang.
“Bermula akhir Januari hingga kini, kelas percubaan Pilates percuma menerima kunjungan lebih 300 pelatih dan ada juga bukan dalam kalangan Muslim,” jelasnya yang menerima para peserta dari Putrajaya, Cyberjaya, Kajang, Bangi, Shah Alam dan Setia Alam, Selangor.
Pasangan kembar tersebut turut mencari lokasi terbaik untuk menjalankan operasi komuniti Pilates di sekitar ibu kota. — Instagram/blisssociety.kl
Studio dikenali dengan konsep mesra Muslimah itu mampu memuatkan 20 peserta Pilates tikar dan 10 bagi kelas Pilates reformer.
“Bliss Society terbuka kepada semua wanita tanpa mengira agama dan bangsa,” ujarnya yang menerapkan konsep Bali di studio berkenaan.
Pada masa hadapan, pasangan kembar itu bercadang membuka kafe mini yang selesa buat peserta menjamu selera sambil menunggu sesi senaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram