SEORANG pekerja penyelenggaraan kereta kabel di Langkawi, Kedah terjatuh dari platform ketika sedang membaik pulih kenderaan itu dalam kejadian yang berlaku pada Khamis.
Setakat ini, status keadaan mangsa masih belum dapat dipastikan dan operasi mencari sudah digerakkan.
Ketua Zon 4 Langkawi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.15 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi 13 minit kemudian.
BACA LAGI: [VIDEO] Banyak trip feri batal susulan ombak mengganas, warga maya cadang bina jambatan ke Langkawi
BACA LAGI: LRT Langkawi: Kerajaan tidak perlu layan 'wishlist' tak masuk akal — Umno Kedah
Usaha mencari mangsa terjatuh sudah dijalankan pihak bomba Kedah. — Buletin TV3
“Pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa difahamkan terjatuh semasa kerja-kerja penyelenggaraan kereta kabel di platform di tingkat dua. Mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira 50 meter dan berada jauh di bawah.
“Anggota bomba berada dalam operasi untuk mendekati dan menyelamatkan mangsa. Bagaimanapun, keadaan mangsa belum dapat dipastikan lagi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mangsa lelaki berusia 41 tahun merupakan pekerja penyelenggaraan di perkhidmatan kereta kabel berkenaan.
Perkembangan terbaru ketika ini mendapati mangsa yang merupakan kakitangan Eagle's Nest Skywalk meninggal dunia akibat insiden tersebut.
Mangsa yang merupakan Khairul Nizam Jaffar bertugas sebagai juruteknik penyelenggaraan di tempat tarikan pelancong itu ditemukan maut pukul 5.11 petang Khamis.
Cuaca mendung membuatkan kerja-kerja mencari mangsa berdepan kesukaran. — Foto Ihsan Bomba
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima makluman pada pukul 12.25 tengah hari daripada penyelia operasi dek kaca di Gunung Mat Chincang bahawa terdapat seorang kakitangan lelaki dipercayai terjatuh di lereng gunung dan tidak sedarkan diri.
“Pihak polis dan bomba bergegas ke lokasi dan memulakan operasi menyelamat. Turut sama ke lokasi adalah pasukan dari Angkatan Pertahanan Awam. Cuaca sedikit hujan semasa operasi dijalankan.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian lebih kurang 40 meter ke tebing gunung, dari besi penahan dek kaca yang berada di bawah dek kaca. Mangsa berjaya dibawa naik ke stesen tengah oleh pihak bomba.
“Pemeriksaan serta pengesahan kematian dibuat pihak hospital dan kemudian dibawa turun menggunakan kereta kabel sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, waris dan keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan dengan mangsa difahamkan baru sahaja tiga bulan bekerja di tempat berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram