TAIWAN bertindak menutup sekolah dan pejabat untuk hari kedua iaitu pada Khamis selepas dua orang disahkan maut manakala lebih 100 cedera dalam Taufan Krathon yang membadai kawasan itu.
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA), Taufan Krathon memiliki kelajuan angin 126 kilometer (km) sejam dan berada 40 km ke barat daya selatan bandar Kaohsiung pada pukul 8 pagi.
"Pusat taufan dijangka mendarat sekitar tengah hari berhampiran Tainan, Kaohsiung atau Pingtung di selatan. Masa mendarat dilihat tangguh kerana pergerakan taufan yang sangat perlahan," kata peramal cuaca, Chang Chun-yao.
BACA LAGI: Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju EBC
Pada Rabu, Ketua CWA, Cheng Chia-ping berkata, taufan itu dijangka cepat melemah selepas mendarat, namun, penduduk Kaohsiung tetap digesa untuk mencari tempat berlindung.
"Akan ada angin pemusnah yang disebabkan oleh taufan di kawasan ini. Berlindunglah secepat mungkin," kata CWA dalam amaran yang dihantar kepada telefon bimbit penduduk pada Khamis.
Mengulas lanjut, Agensi Bomba Kebangsaan berkata, Taufan Kraton yang melanda menyebabkan hujan lebat dan angin kencang sehingga dua orang terkorban, dua individu hilang dan lebih 100 cedera.
Pada Selasa, seorang lelaki berusia 70 tahun dikejarkan ke hospital selepas terjatuh ketika memangkas pokok di daerah Hualien di timur dan meninggal dunia di hospital pada Rabu.
Seorang lagi lelaki berusia 66 tahun, yang dimasukkan ke hospital di Taitung pada Isnin selepas trak yang dipandunya melanggar batu besar yang jatuh ke jalan turut meninggal dunia pada Rabu.
Taufan itu menyebabkan masalah lalu lintas, semua penerbangan domestik digantung untuk pada Khamis dan hampir 55,000 rumah mengalami gangguan bekalan elektrik sementara.
Taiwan sudah biasa menghadapi ribut tropika yang kekerapan yang berlaku dari Julai hingga Oktober, namun pakar mengatakan perubahan iklim telah meningkatkan kekuatan ribut itu untuk mengundang hujan lebat, banjir kilat dan tiupan angin yang kuat.
Pada Julai lepas, Gaemi menjadi taufan paling kuat yang melanda Taiwan dalam tempoh lapan tahun sehingga lebih 10 orang terkorban, beratus tercedera dan mencetus banjir besar di Kaohsiung. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram