SEBAGAI sebahagian pasukan barisan hadapan, tahap kesiapsiagaan anggota bomba perlu senantiasa berada pada tahap maksimum dalam mendepani apa jua kemungkinan bencana atau kecemasan yang tiba.
Bukan setakat memikul tanggungjawab memadamkan kebakaran, peranan anggota bomba turut merangkumi tugas-tugas menyelamat samada manusia mahupun makhluk ciptaan tuhan yang lain.
Bagi Pegawai Bomba Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Amran Lawadin, sepanjang kerjayanya, dalam banyak-banyak keputusan ketika bertugas yang pernah dibuatnya, terdapat satu momen yang masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
Bercerita tentang perkara itu, Amran berkata, peristiwa tersebut berlaku pada 2006, ketika dia sedang bertugas bersama beberapa anggota bomba lain di balai bomba Tambunan, Sabah.
Dalam kejadian tersebut, dia perlu bertindak balas terhadap panggilan kecemasan dari tapak pembinaan di Kampung Sunsuron, Tambunan, kira-kira 15 kilometer (km) jauhnya.
"Apabila kami tiba di tempat kejadian, lokasi tersebut dipenuhi dengan manusia, manakala polis dan paramedik juga sudah berada di lokasi.
"Ketika itu, seorang pekerja dalam lingkungan umur 20-an sedang memanaskan mesin gerudi apabila dia tergelincir dan jatuh ke dalam lubang tidak bertutup yang digali sebelumnya," kenang Amran.
Setiap tugasan dan operasi menyelamat yang dilakukan anggota bomba mempunyai cabarannya yang tersendiri.— Gambar Hiasan
Bercerita lanjut, Amran berkata, mesin penggerudi yang digunakan mangsa pada waktu itu sebenarnya akan digunakan untuk memasang tiang bagi tembok penahan yang sedang dibina di kawasan yang mudah berlaku tanah runtuh.
"Walaupun kedalaman lubang tersebut tidak diketahui dengan tepat, namun jeritan pekerja tersebut mengesahkan bahawa dia masih hidup.
"Tetapi kami perlu bertindak pantas dan masa juga semakin suntuk. Kami risau air akan memenuhi ruang tersebut sekali gus menyebabkan mangsa dalam keadaan lebih berbahaya," ujarnya.
Walaupun ketika itu baru tahun keempat Amran bertugas, dia dipilih untuk turun ke dalam lubang berkenaan kerana kelincahan dan latihan yang pernah diikutinya.
Tambahan pula, dia sudah pun menjadi tenaga pengajar bomba pada waktu itu.
Meskipun menggunakan peralatan terhad dan tiada gambaran jelas mengenai apa yang bakal dihadapi, Amran mengenakan abah-abah keselamatan dan memulakan penurunan yang berbahaya itu.
Katanya, lubang tersebut terlalu sempit sehingga dia tidak dapat memakai topeng oksigennya. Seorang anggota bomba kanan mengendalikan operasi dari atas.
“Sewaktu saya diturunkan dengan bantuan anggota yang lain. Lubang tersebut sangat gelap dan saya boleh rasa dinding yang basah menunjukkan bahawa tanah tersebut tidak stabil, dan ia boleh runtuh pada bila-bila masa.
“Lubang itu menjadi semakin sempit apabila saya turun dan walaupun proses itu hanya mengambil masa beberapa minit, rasanya seperti bertahun-tahun," ceritanya.
Menjadi seorang anggota bomba harus mempunyai hati yang kental ketika berdepan dengan situasi cemas. —Gambar Hiasan
Dengan menggunakan lampu suluh, Amran menemui mangsa dalam keadaan melengkung seperti tenggiling di bahagian bawah lubang tersebut.
“Saya menjerit kepadanya kerana saya tidak mahu terjatuh ke atasnya. Selepas sampai di bahagian paling bawah, saya berdiri untuk meregangkan kaki buat seketika," kata Amran.
Ketika itu, dia terasa sentuhan di kakinya. Apa yang dikatakan oleh pekerja itu masih segar dalam ingatan Amran.
“Dia menangis dan memberitahu saya supaya jangan meninggalkannya, sambil berkata dia tidak mahu mati di dalam lubang itu.
“Mendengar mangsa berkata demikian, saya menjadi sebak dan turut mengalirkan air mata.
“Saya memberitahunya bahawa kami akan keluar dari lubang itu bersama-sama kerana saya tidak mahu dua anak saya kehilangan ayah mereka dan isteri saya menjadi balu," kata Amran.
Walaupun mangsa mengalami patah pinggul, Amran berjaya mengikatnya dengan selamat dan memberi isyarat untuk mendapatkan bantuan.
"Mereka mula menarik saya ke atas permukaan dengan bantuan traktor secara perlahan-perlahan. Saya terpaksa mengikat gelung di sebelah kirinya, menyebabkan kaki kanannya tergantung.
"Saya masih ingat saya memberitahunya supaya menahan sedikit kesakitan itu. Apabila kami ditarik ke atas, angin yang menerpa muka saya adalah perasaan yang paling luar biasa.
“Apabila kami berjaya dikeluarkan dari lubang tersebut, saya hanya terbaring di tanah dengan penuh perasaan lega dan gembira kerana kami telah menyelamatkan satu nyawa hari itu,” tambahnya.
Bercerita lanjut, dia tidak pernah menyangka lubang itu sangat dalam sehingga dia tidak dapat melupakan peristiwa tersebut sehingga kini.
"Saya fikir kedalamannya sekitar tiga hingga enam meter tetapi rupanya 22.8 meter. Saya trauma selama seminggu dan cuba melupakan apa yang telah berlaku.
"Saya mempersoalkan tindakan saya. Jika saya tahu, mungkin saya akan lebih bersedia. Dalam saat bahaya, wajah orang yang kita sayangi mula terbayang di mata.
"Tetapi pada waktu itu, saya perlu kuat dari segi mental untuk keluarga saya serta untuk mangsa,” katanya.
Sebagai sebahagian pasukan barisan hadapan, tahap kesiapsiagaan anggota bomba perlu senantiasa berada pada tahap maksimum dalam mendepani apa jua kemungkinan bencana atau kecemasan yang tiba. — Gambar Hiasan
Walaupun insiden berkenaan berlaku 18 tahun yang lalu, bagi Amran rasanya seperti baru berlaku semalam.
"Selain daripada kecederaan patah tulang pinggul, mangsa selamat dan dihantar ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Meskipun saya terputus hubungan dengan mangsa tetapi kenangan hari itu kekal sehingga kini kerana insiden tersebut menjadikan saya lebih kuat sekali gus memberi kesedaran pada saya sendiri, tiada istilah kerja seorang diri di jabatan bomba," ujarnya.
Menurut lelaki berusia 47 tahun itu lagi, dia tidak pernah menanggap dirinya sebagai seorang wira masyarakat.
"Kami bukan superhero, tujuan kami adalah untuk menyelamatkan nyawa, bukan untuk mencari pujian. Ia adalah tanggungjawab saya untuk menunaikan tugas walaupun ia mungkin membahayakan nyawa saya sendiri.
"Saya sendiri pernah mencuba menjadi polis atau menyertai tentera, tetapi tidak diterima dan akhirnya, saya menjadi anggota bomba. Saya percaya Tuhan menempatkan saya di sini untuk menyelamatkan nyawa," katanya.
Menurut kata bapa kepada empat anak itu lagi, setiap tugasan dan operasi menyelamat mempunyai cabarannya yang tersendiri.
"Bagi saya, setiap tugas adalah cara untuk membantu orang lain dan meringankan kesakitan mereka. — The Star/SANDRA SOKIAL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram