SERAMAI 1,926 penumpang terkandas selepas lapan perjalanan feri Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan pada Ahad akibat cuaca buruk termasuk ombak setinggi empat meter.
Memetik laporan The Star, Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jumlah itu melibatkan empat perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan empat lagi dari Langkawi ke Kuala Kedah.
Menurutnya, hanya dua perjalanan iaitu satu dari Kuala Kedah dan Langkawi berjaya meneruskan perjalanan pada pukul 7 dan 7.30 pagi.
BACA LAGI: Feri ikonik Pulau Kapas tenggelam di Butterworth
BACA LAGI: 'Kami lihat ramai orang bawa senjata', pelajar Malaysia ketakutan kongsi keadaan rusuhan Bangladesh
"Kami dimaklumkan, ombak setinggi kira-kira empat meter sementara kelajuan angin pula sekitar 16 hingga 18 knots yang boleh membahayakan perjalanan feri dan bot kecil.
Ekoran banyak perjalanan yang terpaksa dibatalkan, terdapat cadangan daripada pengguna media sosial agar kerajaan atau mana-mana pihak membuat inisiatif membina jambatan untuk menghubungkan Langkawi dengan tanah besar.
Menjengah ke ruangan komen di Facebook, seorang pengendali akaun dengan nama Maseri Jo Ek berkata, sudah tiba masanya untuk membina jambatan menghala ke Langkawi untuk keselamatan pengguna.
"Dalam masa sama, ia dapat mengelak daripada berlakunya keadaan seperti ribut, ombak besar dan sebagainya hingga menghalang pergerakan," katanya.
Bagi Zahiran Ambri pula, pembinaan jambatan itu pasti akan memakan masa dan wang yang banyak, namun ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.
Ujarnya, sama ada kerajaan mahupun pihak swasta diharap dapat mempertimbangkan langkah tersebut bagi memudahkan pelancong atau penduduk di pulau itu berulang alik ke tanah besar.
Sementara itu, menurut Kejors pula, pelaksanaan jambatan tersebut agak relevan dengan mengambil kira laut di kawasan itu yang cetek dan berlumpur.
"Kalau nak buat kerja-kerja pendalaman dasar sampai bilalah nak buat kerja sia-sia korek pastu cetek balik," katanya.
Untuk rekod, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2009 berkata, kerajaan tidak perlu membina jambatan untuk menghubungkan Langkawi dengan tanah besar kerana ia akan menyebabkan kesesakan kenderaan di pulau itu.
Katanya, jika terlalu banyak kenderaan masuk ke Langkawi akan menimbul kesesakan lalu lintas dan menjejaskan usaha menjadikan pulau itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram