Jejaka lulusan IUKL mulakan bisnes mover di Nilai, Lembah Klang, mudah proses pemindahan


  • Bizz
  • Isnin, 30 Sep 2024

Perniagaan perusahaan penghantaran dimulakan Abdul Azim selepas menamatkan pengajian di IUKL pada hujung 2019.

PERPINDAHAN rumah seringkali menjadi proses yang memenatkan, memakan masa dan adakalanya boleh menyebabkan tekanan.

Daripada membungkus barang-barang ke dalam kotak sehingga memikirkan cara untuk memindahkan perabot besar seperti almari, katil dan sofa, proses berpindah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan seorang diri.

Bagaimanapun dengan kehadiran perkhidmatan lori pindah rumah di seluruh negara, semua cabaran itu dapat diatasi dengan lebih mudah dan teratur.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Bagi pemilik Lodenggo Transport, Abdul Azim Abdul Rahim menjalankan perniagaan logistik dan penghantaran barang atau turut dikenali sebagai mover memberi peluang untuk dirinya memudahkan urusan orang ramai, di samping mengukuhkan kedudukan ekonomi keluarganya.

Ujar usahawan berusia 30 tahun itu, perkhidmatan yang disediakan mampu menguruskan keseluruhan proses perpindahan tanpa perlu pelanggan bersusah payah.

Menurutya, mereka hanya perlu menentukan masa, lokasi dan barang-barang yang perlu dipindahkan.

"Dari situ, kami akan mengendalikan segalanya daripada pembungkusan, pengangkutan hingga penyusunan perabot di lokasi baharu.

"Ini mengurangkan beban pelanggan yang mana, sebelum ini mereka perlu merancang segala aspek perpindahan dengan sendiri termasuk mencari tenaga kerja dan menyewa lori," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-09-26 at 19.47.53

Pekerja dalam proses memindahkan tilam yang akan dibawa ke kediaman baharu.

Pernah ditipu 'orang tengah'

Perniagaan perusahaan penghantaran itu dimulakan Abdul Azim pada hujung 2019, selepas menamatkan pengajian di Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif pada tahun sama.

Pada awalnya, dia hanya bermula dengan menyediakan perkhidmatan lori sewa untuk berpindah dalam skala kecil dan juga menghantar barangan perabot di sekitar Nilai 3, Negeri Sembilan.

"Malah saya juga masih aktif menghantar barang semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

"Dalam tempoh PKP, saya masih meneruskan bisnes ini sebab pekerjaan lain tak boleh dilaksanakan ekoran sekatan perjalanan yang dibuat kerajaan, tapi lori masih boleh bergerak sama ada untuk merentas daerah ataupun negeri.

"Jadi dalam tempoh sekatan tersebut, saya buat penghantaran perabot dan juga untuk syarikat telekomunikasi," jelasnya yang menjadikan syarikat logistik seperti DHL Express sebagai inspirasi dan semangat untuk berjaya dalam bidang ini.

1

Lodenggo kini menawarkan penyelesaian lengkap untuk urusan pemindahan barangan dengan pelbagai pakej.

Meskipun diuji dengan beberapa dugaan termasuk pernah ditipu 'orang tengah', ia sama sekali tidak mematahkan semangat bapa kepada dua cahata mata itu untuk mengembangkan perniagaannya yang beroperasi di Nilai.

Memulakan bisnes dengan modal permulaan sebanyak RM50,000 termasuk untuk membeli lori pertama, Abdul Azim kini bersyukur apabila hasil jualannya kini boleh mencecah antara RM20,000 hingga RM30,000 dalam tempoh sebulan.

Ditanya antara kekangan yang dihadapi sepanjang lebih lima tahun dalam perniagaan ini, anak kelahiran Maran, Pahang itu mengakui dirinya berdepan cabaran awal untuk menguruskan sumber manusia, terutama dari segi memastikan pekerja dapat bertahan dengan kerja-kerja fizikal yang berat.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 22.04.23

Lodenggo juga menawarkan servis membuka dan memasang semula perabot.

Namun, selepas melalui pengalaman dan beberapa penyesuaian, kini perniagaan Lodenggo lebih stabil dan mampu mengekalkan pekerjanya untuk tempoh yang lebih lama.

"Puncak permintaan untuk perkhidmatan biasanya berlaku di awal dan akhir bulan, ketika kebanyakan orang berpindah rumah.

"Formula perniagaan ini mudah, kita dah tahu pelanggan lebih cenderung untuk berpindah rumah pada awal dan hujung bulan," katanya.

WhatsApp Image 2024-09-26 at 18.18.49

Lodenggo turut menyediakan pakej-pakej termasuk lori, pemandu lori dan pekerja dalam urusan pemindahan barang.

Peluang pekerjaan anak muda

Abdul Azim dalam pada itu berkata, dengan bisnes tersebut, dia turut berupaya menyediakan peluang kepada bukan sahaja golongan muda, malah individu peringkat usia yang menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan.

Di Lodenggo, katanya, sijil profesional tidak diperlukan untuk diterima bekerja, sebaliknya, mereka akan dilatih untuk mengendalikan perabot dan tugas-tugas perpindahan lain.

"Ini memberikan peluang kepada ramai anak muda, terutamanya mereka yang baru menamatkan persekolahan, untuk mencari rezeki," jelasnya yang turut dibantu isteri dalam menguruskan perniagaan tersebut.

WhatsApp Image 2024-09-29 at 17.07.37

Abdul Azim (kiri) turut dibantu isterinya dalam menguruskan perniagaan tersebut.

Pakej ditawarkan Lodenggo

Menjelas lanjut tentang perkhidmatan yang disediakan, Abdul Azim berkata, syarikat Lodenggo kini menawarkan penyelesaian lengkap untuk urusan pemindahan barangan dengan pelbagai pakej yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.

Menurutnya, perkhidmatan yang ditawarkan meliputi pemindahan barangan rumah, katering, industri dan perkhidmatan pelupusan.

"Lodenggo menyediakan pakej-pakej termasuk lori, pemandu lori, pekerja dan pelbagai perkhidmatan tambahan seperti pembungkusan, membalut perabot, membuka dan memasang semula perabot, mencuci habuk pada perabot serta penyusunan perabot di kediaman baharu.

"Harga kami adalah bergantung kepada bajet dan keperluan pelanggan. Kami menawarkan empat jenis pakej utama iaitu Elit, Premium, Basic dan Ekonomi.

"Setiap pakej direka untuk memberikan fleksibiliti kepada pelanggan, sama ada mereka memerlukan perkhidmatan penuh atau hanya perkhidmatan asas," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram