SEORANG lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kawasan jalan raya Jalan Bukit Kechil, Napoh dekat Jitra pada Jumaat.
Media melaporkan, pada kejadian pukul 5.30 petang itu, suspek ditemui mati di tempat duduk pemandu hadapan kereta Proton Saga dalam keadaan berlumuran darah.
Kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota polis yang ketika itu melakukan rondaan Op Laras di lokasi kejadian.
Suspek ketika itu bersenjatakan sepucuk pistol.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dilaporkan berkata, suspek sempat melepaskan dua das tembakan sebelum maut ditembak dengan empat das tembakan oleh polis.
"Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang melakukan rondaan Op Laras di kawasan kejadian ternampak sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Gagal dapat wang beli dadah punca lelaki pukul ibu, ancam letup rumah di George Town
Beliau berkata, pasukan serbuan yang melakukan rondaan di tempat ini dan mendapati kereta itu agak mencurigakan dan polis meminta suspek berhenti namun dia enggan berbuat demikian.
"Suspek bagaimanapun melepaskan dua das tembakan ke arah polis dan polis yang ketika itu cuba mempertahankan diri, membalas empat das tembakan yang mengenai dada kirinya menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Hadir sama, Timbalannya, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah dan Timbalan Ketua JSJ Kedah Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.
Fisol berkata, berdasarkan pemeriksaan lanjut mendapati, suspek dipercayai warga tempatan berusia 57 tahun dan semakan mendapati, dia mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah dan senjata api tiruan.
BACA LAGI: [VIDEO] Hampir putus kaki gara-gara tidak sabar tunggu feri mendarat
Beliau berkata, pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan dua pucuk pistol dan 240 butir peluru.
"Peluru yang ditemui adalah 9 milimeter (mm) 100 butir, pistol jenis.38 juga 100 butir serta peluru 5.56 yang digunakan untuk senjata rifle seperti M-16.
"Hasil pemeriksaan masih dilakukan oleh Unit Forensik dari Kontinjen Kedah dan pasukan JSJ Kedah di lokasi kejadian," katanya.
Fisol berkata, kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada suspek terbabit dengan mana-mana sindiket atau sebaliknya.
"Mayat suspek berkenaan dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram