NAMA Leftenan Kolonel Emilia Kamaruddin mungkin mencetuskan inspirasi kepada masyarakat dengan membuktikan bahawa wanita juga mampu mengharungi kerjaya yang mencabar seperti tentera.
Walaupun kelibat ataupun namanya jarang disebut dalam media utama mutakhir ini, namun beliau adalah sumber inspirasi bagi para wanita yang ingin menjalani kehidupan yang penuh dengan latihan fizikal dan disiplin ketenteraan.
Malah, Emilia adalah contoh bahawa kecekalan, kekuatan mental, dan semangat tidak terbatas pada gender.
BACA LAGI : 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri
Peranannya dalam angkatan tentera menunjukkan bahawa wanita juga mampu memikul tanggungjawab dan menghadapi cabaran yang sama seperti lelaki.
Bukan itu sahaja, nama Emilia itu sendiri itu turut membawa makna yang sangat bermakna dalam Islam iaitu cita-cita yang seolah-olah menggambarkan impian pada setiap insan yang menginginkan kerjaya sepertinya.
Leftenan Kolonel Emilia Kamaruddin. — Facebook/Syahril A.Kadir
Melalui perkongsian di laman Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia, Emilia memulakan kerjaya di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai pegawai berpangkat Leftenan Udara dan bersara sebagai Leftenan Kolonel pada Disember 2011.
Difahamkan beliau, berkhidmat bersama TUDM selama 25 tahun untuk berkhidmat demi mempertahankan negara yang tercinta.
Anak jati kelahiran Selangor itu juga pernah memegang jawatan penting di Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai salah seorang pengarah selepas bersara dari TUDM.
Namun di sebalik kejayaan wanita tersebut, kerjaya juruterbang pejuang tidak pernah terlintas di dalam kamus cita-citanya hatta semasa belajar Kolej Teknologi Llandrillo, North Wales, United Kingdom peringkat A Levels sebelum menyambung peringkat ijazah di Universiti Loughborough, England, United Kingdom.
Beliau seperti yang dikongsikan Mejar (B) Ramli Abdul Rahim, Emilia hanya mencuba nasib selepas tertarik dengan iklan yang menawarkan kerjaya dalam TUDM.
Pengalaman menerbangkan pelbagai jenis pesawat termasuk Pilatus PC-7, Aermacchi MB339, Skyhawk, Hawk dan Aerotiga MD3, mematangkan Emilia dalam menjalani kehidupan dunia penerbangan ketenteraan.— Facebook/TUDM
Pada ketika itu, Emilia bersama dengan dua orang calon juruterbang wanita lain iaitu Fadzillah Abdullah dan Zainab Sharil telah dipilih untuk menjalani latihan ketenteraan di TUDM Kinrara, Kuala Lumpur dan ditauliahkan sebagai pegawai TUDM berpangkat Leftenan pada 3 November 1986.
Emilia kemudiannya mengikuti kursus latihan penerbangan asas di Pusat Latihan Penerbangan Satu di TUDM Alor Setar, kedah iaitu melalui fasa kajian bawah dan fasa penerbangan dan setelah lulus menerima sayap penerbangan.
Setelah upacara penganugerahan sayap penerbangan pada April 1988 selepas melakukan penerbangan sebanyak 170 jam, bermulalah episod kerjaya Emilia sebagai juruterbang wanita pertama di TUDM dan beliau meneruskan penerbangan lanjutan untuk menerbangkan pesawat pejuang.
Pengalaman menerbangkan pelbagai jenis pesawat termasuk Pilatus PC-7, Aermacchi MB339, Skyhawk, Hawk dan Aerotiga MD3, mematangkan Emilia dalam menjalani kehidupan dunia penerbangan ketenteraan.
Difahamkan, ibu kepada enam orang anak itu pernah berdepan dengan situasi mencemaskan semasa mengendalikan pesawat mengadakan pertunjukan lintas lalu empat pesawat sempena Hari Kemerdekaan negara, pesawat yang dibawanya mengalami masalah teknikal dan menjunam namun beliau sempat mengendalinya dan naik semula.
Skuadron jet pejuang yang menjadi lokasi pertama Emilia bertugas ialah TUDM Kuantan, Pahang iaitu menerbangkan pesawat Skyhawk iaitu daripada 1989-1992 dan sebagai juruterbang pejuang wanita yang pertama setiap gerak-geri menjadi keprihatinan semua pihak kerana Emilia adalah wanita yang pertama membuat kerja yang selalunya dilakukan oleh orang lelaki.
Emilia berkhidmat bersama TUDM selama 25 tahun demi mempertahankan negara yang tercinta. — Facebook/TUDM
Lebih membanggakan lagi, Emilia juga merupakan Jurulatih Penerbangan Wanita yang pertama apabila dipilih untuk menjadi guru melatih pelatih juruterbang yang hampir 100 peratus adalah lelaki kerana TUDM tidak mengambil ramai juruterbang wanita maka anak didik Emilia kebanyakannya adalah lelaki daripada 1992-1995.
Beliau kemudiannya menjadi Ketua Operasi Pusat Simulator Pesawat Pejuang di TUDM Butterworth daripada 1995-1997 dan seterusnya menjadi Pegawai Memerintah Pusat Simulator Pesawat Pejuang daripada 1999-2001.
Bukan itu sahaja, pada 2007 sehingga persaraannya 2011 Emilia telah ditugaskan sebagai juruarah (Directing Staff) di Maktab Turus Angkatan Tentera Haigate Kuala Lumpur untuk mengendalikan modul Tentera Udara bagi pegawai TUDM dan pegawai tentera udara asing yang berkursus di maktab tersebut.
Walaupun Emilia kini tidak lagi di dalam TUDM namanya akan tetap menjadi bualan dalam kalangan masyarakat sekali gus menjadi sumber inspirasi buat wanita di luar sana yang ingin terlibat dalam bidang latihan perang di udara.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram