Leftenan Adnan antara simbolik keberanian, jejak sejarah ketenteraan di sebalik keindahan Port Dickson


  • 112
  • Rabu, 25 Sep 2024

Selain peranan dalam latihan ketenteraan, Port Dickson juga menjadi tapak untuk acara peringatan tentera, seperti Hari Tentera Darat, yang diadakan setiap tahun bagi memperingati sejarah dan pencapaian ATM.—Facebook/ Kementerian Pertahanan Malaysia

PORT Dickson terkenal sebagai salah satu pusat peranginan popular di Malaysia.

Berhadapan dengan Selat Melaka, lokasi yang terletak di Negeri Sembilan itu menawarkan pantai-pantai indah yang berdekatan dengan pusat bandar, membolehkan penduduk tempatan mahupun pelancong berkunjung ke sana dengan tujuan berehat dan berkelah.

Namun mungkin ramai tidak tahu, Port Dickson juga menyimpan begitu banyak sejarah penting berkaitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

Di sebalik populariti pantainya sebagai tempat percutian, ia telah lama menjadi pusat penting bagi perkembangan dan latihan ketenteraan negara.

Selain Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) yang melatih rekrut baharu Tentera Darat, Port Dickson juga menjadi lokasi yang strategik untuk latihan ketenteraan sejak zaman penjajahan British.

Untuk rekod, British dahulunya menggunakan kawasan tersebut sebagai pangkalan ketenteraan untuk mempertahankan laluan perdagangan di Selat Melaka.

Selepas kemerdekaan Malaysia, bandar itu terus mengekalkan kepentingannya dalam ATM, terutama sebagai pusat bagi Tentera Darat.

[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]

malay-regiment-operatives-1949-50dc6d-640

Pusasda ditubuhkan atas desakan para pembesar Melayu yang ingin memastikan adanya latihan ketenteraan yang sistematik untuk rakyat tempatan. — Imperial War Museum

Sejarah penubuhan Pusasda

Dalam satu perkongsian video di laman Facebook, Rmc-Ssc Intake 34, Pusasda berfungsi sebagai pusat latihan utama bagi merekrut tentera darat, di mana mereka menjalani latihan asas sebelum ditugaskan ke unit-unit lain dalam ATM.

Sementara itu, melalui maklumat yang diperolehi di laman Portal Rasmi Tentera Darat Malaysia, Pusasda ditubuhkan atas desakan para pembesar Melayu yang ingin memastikan adanya latihan ketenteraan yang sistematik untuk rakyat tempatan.

Usaha itu bermula semenjak 1902 lagi. Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi mewujudkan pasukan berkenaan.

Pada 1913 pula, Almarhum Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhamad ibni YAM Tunku Antah; Almarhum DYMM Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah; Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Allahyarham Undang Rembau, Datuk Abdullah Damad pada ketika itu telah menyuarakan hasrat untuk menubuhkan pasukan Askar Melayu.

Hasrat tersebut menjadi kenyataan apabila Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933 meluluskan Rang Undang-Undang Askar Melayu yang dikenali sebagai Undang-Undang No. 11.

Bagi menyahut seruan untuk mempertahankan ibu pertiwi, lebih 1,000 pemuda Melayu dari seluruh pelosok tanah air tampil menawarkan khidmat mereka, tetapi hanya 25 orang sahaja yang berjaya dipilih sebagai pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu.

Mereka kemudian diarahkan untuk melapor diri ke Haig Lines yang kini dikenali sebagai Institut Pengurusan Tentera Darat (IPDA) di Pusasda untuk memulakan latihan pada 1 Mac 1933.

Tempat lahirnya wira negara

243472831_227241229447434_8855782594823651954_n

Leftenan Adnan antara perajurit negara yang menamatkan latihan di Pusasda pada awal pusat latihan tentera tersebut ditubuhkan.

Apabila bercakap tentang hari memperingati pahlawan, jasa dan pengorbanan mereka yang dikenang itu meliputi semua pejuang yang terkorban tanpa mengira status dan pangkat.

Begitu jugalah dengan nama Leftenan Adnan, beliau diangkat sebagai simbolik keberanian dan kegagahan pejuang tanah air khususnya Askar Melayu dan Tentera Darat.

Beliau merupakan antara perajurit negara yang menamatkan latihan di Pusasda pada awal pusat latihan tentera tersebut ditubuhkan.

Leftenan Adnan merupakan seorang anggota tentera dan askar Tanah Melayu daripada Briged Infantri 1 yang bertempur dengan Jepun dalam Pertempuran Singapura di Bukit Chandu, Singapura pada 1942.

Beliau merupakan di antara perajurit negara yang dibunuh dengan kejam pada pertempuran itu.

Beliau pada hari ini, dianggap oleh rakyat Singapura dan rakyat Malaysia sebagai wira atas keberaniannya. Nama beliau juga diabadikan pada Kenderaan Perisai Tempur (MACV).

Simbol penting dalam sejarah ketenteraan Malaysia

459437703_18453162334038802_7724260095351649957_n

Pusasda adalah institusi yang tidak hanya melatih anggota tentera tetapi juga berperanan dalam membina identiti dan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia. — Facebook/ Kementerian Pertahanan Malaysia

Mutakhir ini, Pusasda terus menjadi simbol penting dalam sejarah ketenteraan Malaysia. Ia bukan sahaja tempat lahirnya pahlawan negara tetapi juga menjadi pusat bagi pelbagai inisiatif ketenteraan dan program latihan yang bertujuan memperkukuh pertahanan negara.

Dengan lokasi strategiknya di Port Dickson, Pusasda juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial kawasan tersebut.

Dua bangunan asal Pusasda atau dikenali sebagai Depoh Askar Melayu pada awal penubuhannya telah dijadikan sebagai bangunan muzium.

Secara keseluruhan, Pusasda adalah institusi yang tidak hanya melatih anggota tentera tetapi juga berperanan dalam membina identiti dan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain peranan dalam latihan ketenteraan, Port Dickson juga menjadi tapak untuk acara peringatan tentera, seperti Hari Tentera Darat, yang diadakan setiap tahun bagi memperingati sejarah dan pencapaian ATM.

Kawasan tersebut turut menyumbang kepada pembangunan profesionalisme dan kesiapsiagaan tentera Malaysia, menjadikannya sebuah tempat yang sangat penting dalam sejarah pertahanan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram