[VIDEO] Tak perlu malu kerja sambilan jadi pengawal, Nurin antara 3 pelajar IPT contoh sanggup sengkang mata demi penduduk Desa Melor


  • Massa
  • Rabu, 02 Okt 2024

Pegawai keselamatan di taman perumahan di Desa Melor, Serendah, Selangor yang terdiri daripada pelajar IPT.

MENCARI pekerjaan yang memenuhi kriteria dan kehendak sememangnya sukar buat generasi kini.

Apatah lagi bagi individu kurang berpengalaman dalam dunia pekerjaan seperti pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mencari duit poket melalui kerja sambilan.

Justeru, ada sesetengahnya mengambil keputusan untuk memilih pekerjaan lebih mudah atau berdekatan dengan kawasan kediaman selepas mengambil kira kos serta pengangkutan perlu ditanggung.

BACA LAGI: Tiba masa ubah jolokan 'Colombia', MBDK giat jadikan Pangkalan Batu titik ubah persepsi Klang

BACA LAGI: Bagai dapat durian runtuh, lelaki warga emas terima wang tidak dituntut RM18,000

6332122404377182385

Kegigihan pelajar IPT yang sanggup melakukan kerja sambilan sebagai pegawai keselamatan ketika cuti semester di Desa Melor.

Begitu juga dengan tiga orang pelajar IPT berusia 20 tahun yang sanggup mengambil kerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di sebuah taman di Desa Melor, Serendah, Selangor.

Bagi Mohammad Hakeem Al-Ikhwan Makhtar, tiada sedikit pun perasaan malu pada dirinya ketika menjalankan tugas sebagai pegawai keselamatan sejak 2022 selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Mohammad Hakeem yang merupakan pelajar Diploma Multimedia di Universiti Kuala Lumpur melalui Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT), Kuala Lumpur berkata, jarak ke rumah dan kos rendah antara faktor dia memilih bekerja di pondok kawalan keselamatan di laluan masuk taman perumahan tersebut.

Katanya, selain jarak, penjimatan kos makan dan pengangkutan juga membuatkannya lebih terbuka untuk bekerja sedemikian.

"Apa yang buatkan saya lagi tertarik nak kerja di sini adalah boleh kurangkan risiko berlaku kejadian tak diingini.

"Contohnya, kalau kerja-kerja lain seperti pemandu e-hailing boleh terlibat dalam kemalangan. Tetapi, bila kerja dekat dengan rumah, tak perlu perlu habiskan masa di jalan raya terlalu lama dan ia sangat menjimatkan masa dan kos.

"Kalau makan pun tak perlu risau sebab memang hari-hari ada sahaja penduduk atau majikan bagi makanan percuma," katanya kepada Majoriti.

6332122404377182387

Mohammad Hakeem

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga berkata, bekerja sebagai pengawal keselamatan banyak membantu meningkatkan keyakinan diri dan menambah baik kemahiran sosialnya.

Jika sebelum ini dia seorang yang pemalu, bekerja di pondok kawalan melatihnya untuk berkomunikasi dengan baik.

"Kerja pengawal keselamatan ni buatkan saya belajar cara nak bercakap, jelaskan pada penduduk bila nak pergi ke mana-mana tempat dalam kawasan perumahan ini.

"Selama tiga kali bekerja termasuk tahun ni (2024), saya juga dah mula saling kenal-mengenali dengan penduduk lain," katanya.

Rakan seperjuangannya sejak di bangku sekolah sehingga ke menara gading, Mohammad Faiz Azidin tidak menolak bahawa terdapat juga persepsi atau kata-kata negatif daripada kalangan kenalan lain.

Mohammad Faiz berkata, ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus melaksanakan tugas dengan sempurna kerana.

"Ada juga kadang-kadang kawan dalam taman ni tanya saya tak ada rasa nak tukar kerja lain ke sebab selalu sangat jadi pengawal keselamatan.

"Bagi saya, saya boleh tahan kerja macam ini walaupun sedikit panas dan memang perlu sentiasa berdiri untuk buka palang beri laluan kenderaan masuk dan keluar.

"Tetapi, kerja ini pun tak susah, tak perlu terlalu berfikir dan penat seperti kerja lain di luar sana. Jadi saya tak kisah mereka nak kata apa, asalkan dapat juga hasil (wang) tampung kehidupan," katanya kepada Majoriti.

6332122404377182386

Mohammad Faiz

Anak sulung daripada dua beradik itu juga tidak menolak bahawa pekerjaan itu sedikit sebanyak mengajarnya untuk menjadi seseorang yang lebih teliti terutamanya dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku.

Lebih istimewanya sistem keselamatan di taman itu, katanya, individu luar tidak dibenarkan melakukan sebarang perniagaan rumah ke rumah tanpa kebenaran persatuan penduduk.

Bercerita pula tentang pengalaman yang tidak boleh dilupakan sehingga kini, Mohammad Faiz pernah bertugas ketika berlakunya kejadian rompakan baru-baru ini.

"Pernah sekali saya terlibat cari orang cuba nak merompak di taman, tetapi tak sempat tangkap sebab kami ada masa terlepas pandang juga," jelasnya.

Tidak semua orang boleh menggalas jawatan sebagai pegawai keselamatan lebih-lebih lagi bagi golongan wanita.

Namun, ia tidak menghalang Nurin Maisarah Farhan Nasarudin untuk merebut peluang luar biasa itu sekali gus menjadi satu-satunya pengawal keselamatan sambilan wanita di pondok kawalan tersebut.

Kata Nurin, pengalaman tersebut dapat membuka matanya tentang dunia pekerjaan sebagai pegawai keselamatan memandangkan ia merupakan kali pertama menjalankan tugas itu.

Pelajar Diploma Sains Matematik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis itu berkata, keselamatan tidak menjadi kebimbangan utamanya kerana sentiasa ditemani oleh pekerja lelaki.

6332122404377182388

Nurin Maisarah

Nurin juga tidak sentiasa diberikan syif bekerja waktu malam bagi mengelakkan sebarang kejadian di luar jangkaan berlaku.

Tanpa rasa malu, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, pekerjaan itu sekali gus membuatkannya belajar sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain.

"Kerja di sini sebenarnya sangat seronok sebab dapat betegur sapa, beramah mesra dengan orang sekeliling.

"Bila saya dah dapat pengalaman ni, baru saya tahu kerja pengawal keselamatan bukan tahap bawahan," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, mereka bertiga mengambil kesempatan itu untuk meninggalkan pesanan kepada masyarakat terutamanya pelajar-pelajar IPT yang sedang mencari kerja sambilan.

Meskipun hanya menerima bayaran kira-kira RM1,500 sebulan, mereka menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu memilih pekerjaan kerana kesempatan itu berkemungkinan dapat membuka peluang lebih besar pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram