SEPANJANG terlibat aktiviti pembersihan sampah di tempat awam, Muhammad Uzair Emir Ahmad Faisal melihat terdapat kelemahan wujud dalam inisiatif tersebut khususnya daripada segi impaknya terhadap masyarakat.
Menurutnya, di sebalik peningkatan penganjuran program sedemikian, kesannya untuk mengubah sikap dan pemikiran masyarakat didapati cukup minimum dan tidak begitu meluas.
Mengambil kira masalah tersebut, Muhammad Uzair tampil melakukan kelainan apabila menjadikan TikTok sebagai platform untuk berkongsi inisiatif aktivisme alam sekitar yang dijalankannya menerusi LoKohoPunoh atau LKP Empire.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
LKP Empire merupakan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mula ditubuhkan sejak Ogos tahun lalu dan giat berkongsikan video aktiviti pembersihan tempat awam di media sosial bagi meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar.
Muhammad Uzair yang juga pengasas LKP Empire, penggunaan media sosial disifatkan cukup penting khususnya dalam bukan sahaja menyebarkan kesedaran orang awam, malah juga mendorong mereka untuk melakukan tindakan.
Sukarelawan LKP Empire bergambar bersama ketika mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan Taman Awam Pangkalan Batu di Klang, Selangor, baru-baru ini.
"Biasanya bila kita buat aktiviti pembersihan di sesuatu tempat, esoknya tempat itu akan kotor balik. Benda ini terjadi sebab pangkal terhadap masalah tersebut iaitu pemikiran masyarakat tidak diubah.
"Tapi dengan menggunakan media sosial, kesedaran terhadap perkara ini boleh disampaikan dengan lebih meluas termasuk di peringkat akar umbi supaya orang ramai akan lebih peka.
"Jadi kami cuba bawa budaya baru dalam media sosial dengan memperbanyakkan lagi pengisian kandungan seperti ini," katanya kepada Majoriti.
Usaha digerakkan LKP Empire yang bermula di Kuala Terengganu, Terengganu kini turut mendapat perhatian positif dengan ia berjaya mengumpulkan seramai lebih 143 sukarelawan di seluruh negara dengan 42 daripadanya merupakan ahli berdaftar.
Pada masa sama, penganjuran program pembersihan dijalankan juga sudah meluas dan bergerak di luar Terengganu termasuk tiga negeri lain di Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menerusi wakilnya.
Berjaya 'bersihkan' 3 pantai Kuala Terengganu dari sampah
Antara pantai yang berjaya dibersihkan pasukan sukarelawan LKP Empire di Terengganu. — LKP Empire
Sejak tempoh lebih setahun LKP Empire bergerak, Muhammad Uzair berkata, terdapat lebih 100 program pembersihan sampah di tempat awam sudah berjaya dilaksanakan di seluruh Malaysia.
Dia berkata, pihaknya kini juga sudah mempunyai pasukan sukarelawan yang kukuh di Terengganu untuk memastikan kemapanan inisiatif dijalankan.
Malah menurut anak sulung daripada empat adik beradik ini, beberapa tempat utama di daerah Kuala Terengganu disifatkan sudah menunjukkan tahap kebersihan cukup baik berbanding sebelum ini
"Kita tidak ada buat kajian secara saintifik. Tapi kalau ikut pengamatan rambang, kita pergi tempat-tempat itu, memang bersih dan penduduk pun bagi maklum balas yang cukup positif.
"Antara tempat yang kita berjaya bersihkan Pantai Pandak, sekitar Pantai Teluk Takir atau dikenali sebagai Pantai Miami dan Pantai Teluk Ketapang.
"Sebelum nak bersih itu, kita dah viralkan benda itu banyak kali sampai pasukan kita memang terima banyak kecaman. Tapi akhirnya tempat itu berjaya dibersihkan dan peningkatan masyarakat dan penduduk setempat pun semakin baik," ujarnya yang menetap di Kuala Terengganu.
Jadikan Malaysia contoh negara bersih
Sebelum ini, LKP Empire lebih dikenali sebagai LoKohoPunoh, diambil daripada dialek Terengganu yang bermaksud 'makin dibiar makin teruk'.
Inisiatif dijalankan itu turut membolehkan Muhammad Uzair yang juga pelajar perubatan tahun akhir daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai 'Changemakar of the Year' di TikTok Awards Malaysia 2024.
Muhammad Uzair berkata, pada waktu ini, pengurusan LKP Empire diuruskan empat individu termasuk dirinya dengan kos operasi ditampung sepenuhnya secara mandiri dan juga bantuan daripada NGO ataupun agensi berkaitan..
"Kita gunakan dana kita sendiri. Kita masih tak buat kutipan dana awam sebab nak elak sebarang potensi salah guna wang.
"Kita sebaik mungkin cuba gunakan dana sendiri selagi kita masih ada duit," ujarnya yang mengakui menggunakan sebahagian daripada biasiswa diperolehinya untuk menampung operasi LKP Empire.
Ujarnya, selain wakil yang diletakkan di beberapa negeri, mereka turut bekerjasama dengan NGO serta agensi lain yang berada di kawasan tersebut bagi membantu mencari lokasi tempat tumpuan yang mahu dibersihkan.
Setakat ini, menurut beliau, kerjasama tersebut melibatkan sebanyak lima agensi kerajaan termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Selain itu, Muhammad Uzair berkata, LKP Empire kini juga sudah menjalinkan beberapa kolaborasi bersama pihak sekolah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid.
"Melalui kerjasama itu juga kita cuba kaji apa yang kita boleh lakukan untuk tarik kumpulan murid ini bagi sertai inisiatif kami.
"Dengan cara itu, kita akan cuba buat trend-trend di TikTok untuk bagi mereka rasa teruja bagi sertai aktiviti yang kami jalankan," ujarnya yang mahu menjadikan Malaysia sebagai contoh negara bersih pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram