Terkejut pelajar nak masuk GiatMARA, IKM tak lancar syahadah, solat tunggang langgang — Asyraf Wajdi


  • Massa
  • Selasa, 01 Okt 2024

Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu menekankan aspek agama kepada pelajar di TVET MARA.

SEMUA institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA akan menekankan asas-asas fardu ain seperti tahsin solat, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi laman media sosial menegaskan perkara itu susulan wujud segelintir pelajar yang tidak mengetahui asas dalam agama iaitu perkara berkait dengan fardu ain.

"Terkejut saya bila ada juga pelajar yang masuk GiatMARA, IKM (Institut Kemahiran MARA) bila uji syahadah dan solat pun tunggang-langgang," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemuda rakam sendiri aksi lompat stesen monorel Bukt Bintang masih bebas

BACA LAGI: Sabari sah dibunuh, suspek mengaku campak mangsa dalam Sungai Padang Terap

Dalam pada itu, Dr Asyraf berkata, beliau telah meminta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk mewujudkan jawatankuasa menggubal modul khas agama bagi memantapkan dan memperkasakan asas-asas agama termasuk akidah dan fardu ain.

"Dalam perbincangan saya dengan Bahagian Pendidikan MARA, memandangkan kerajaan telah mula mengarusperdanakan dasar TVET di mana Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) adalah setaraf dengan SPM, pelajar-pelajar yang tidak melalui pendidikan arus perdana atau kumpulan ‘drop-out’ atau tercicir hampir 100,000 pelajar yang diberi peluang menyambung pengajian di GiatMARA, umpamanya mesti dicanai juga aspek asas-asas agama.

"Ini kerana ada juga bila diuji, yang tidak fasih mengucap syahadah bahkan solat pun masih cacamarba," katanya.

Selain itu, kemahiran asas seperti pengurusan jenazah juga turut dimasukkan sebagai kemahiran tambahan yang boleh menjadikan mereka bermanfaat dalam komuniti masyarakat di lokaliti masing-masing.

"Modul ini boleh dimasukkan dalam kurikulum TVET di semua institusi pendidikan MARA seperti GiatMARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Malaysian-Japanese Industrial Institute dan German Malaysia Institute.

"MARA mahu melahirkan generasi TVET yang holistik dan seimbang teradun dengan empat elemen Religion, Innovation, Skill and Entrepreneurship (RISE). Insya-ALLAH," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram