[VIDEO] Angkara tayar pecah langgar pengadang jalan, lebih 20 dikhuatiri maut bas sekolah terbakar di Thailand


  • Benua
  • Selasa, 01 Okt 2024

Sebuah bas sekolah yang membawa 44 orang pelajar dan guru terbakar dalam kejadian di Bangkok, Thailand pada Selasa.

SERAMAI 25 individu dikhuatiri maut selepas sebuah bas yang membawa 44 pelajar dan guru terbakar di Bangkok, Thailand pada Selasa.

Rakaman video dari lokasi menunjukkan bas terbabit habis dijilat api di bawah jejambat dengan kepulan asap hitam yang menebal.

"Saya telah dimaklumkan mengenai kebakaran bas yang membawa pelajar dari Uthai Thani terlibat kemalangan dan ia mengakibatkan kematian dan kecederaan," tulis Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di laman X.

BACA LAGI: Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju EBC

BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental

Difahamkan, bas itu dalam perjalanan dari wilayah Uthai Thani ke Bangkok untuk melakukan lawatan sekolah.

Paetongtarn mengesahkan terdapat individu yang terkorban dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Laporan awal mengatakan terdapat 44 orang di atas kapal yang terdiri daripada 38 pelajar dan enam guru.

"Setakat yang kita tahu, tiga guru dan 16 pelajar berjaya keluar dari bas berkenaan. Tetapi kami masih belum jelas tentang nasib bagi orang yang masih hilang," katanya.

Menteri Pengangkutan, Suriya Jungrungreangkit pula berkata, jumlah kematian masih belum jelas kerana terdapat 25 orang gagal dikesan selepas kebakaran itu berlaku.

Menurut seorang pasukan penyelamat, tayar bas berkenaan pecah sehingga menyebabkan kenderaan itu merempuh penghalang jalan.

Pasukan penyelamat turut berkata, bas itu juga menggunakan gas mampat yang menyebabkan insiden itu mencetuskan api pada tangki bahan apinya.

Kebakaran itu sudah dipadamkan tetapi pekerja penyelamat terpaksa menunggu bas berkenaan sejuk sebelum memulakan pencarian untuk mangsa, kata seorang pekerja penyelamat.

Thailand mempunyai salah satu rekod keselamatan jalan raya terburuk di dunia, dengan kenderaan tidak selamat dan pemanduan yang buruk menyumbang kepada jumlah kematian tahunan yang tinggi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram