SERING kali kita dengar gelaran 'bandar Colombia' dikaitkan dengan kawasan Klang, Selangor susulan kes jenayah yang semakin ketara sepanjang 2024.
Bagi yang belum tahu, Colombia merupakan antara negara paling bahaya di dunia kerana terkenal dengan aktiviti keganasan dengan hampir 80 kes pembunuhan setiap hari sekali gus menjadikannya tempat yang tidak sesuai untuk melancong.
Lebih menguatkan lagi kenyataan kononnya Klang bandar Colombia, apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan daerah Klang menjadi destinasi pertama pihaknya melakukan lawatan kerja.
BACA LAGI: Uniknya trend beli barang 'bundle', bukan setakat kawal nafsu, elak membazir
BACA LAGI: Bukan tiru stail semata-mata, dunia rock bantu pemuda OKU asal Taiping faham erti hidup sebenar
Kes jenayah berat yang kerap berlaku sehingga tercetusnya gelaran 'bandar Colombia'. — Gambar hiasan
Menurut beliau, daerah itu disifatkan paling membimbangkan disebabkan jenis kes berat yang kerap berlaku dengan kadar jenayah turut meningkat di seluruh negara.
Selain kes bunuh, pihaknya juga mempunyai rekod-rekod aktiviti kumpulan kongsi gelap dan gangsterism di seluruh daerah Klang Selatan dan Klang Utara sejak Januari lalu.
Ia juga tidak dinafikan menjadi satu cabaran buat pihak bertanggungjawab untuk memulihkan keadaan serta mengubah persepsi orang ramai terhadap bandar Klang.
Rentetan itu, terdapat pelbagai usaha dan inisiatif kini giat dilaksanakan terutamanya daripada aspek pembangunan di sekitar kawasan tersebut.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Christopher Lee antara perubahan yang diutamakan adalah dengan menaik taraf infrastruktur dan kebersihan bagi menggalakkan lagi aktiviti komuniti dapat dilakukan.
Christopher Lee mengharapkan pembangunan di kawasan Klang.
Dengan wujudnya komuniti harmoni, ia sekali gus dapat memperlihatkan sisi baharu Klang kepada penduduknya mahupun orang luar.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa banyak berlakunya aktiviti vandalisme melibatkan kerosakan kemudahan awam.
"Justeru itu, kami sedang berusaha mencantikkan dan membangunkan beberapa kawasan terutamanya di Sungai Klang di Pangkalan Batu, Lorong Gopeng, Pasar Jawa dan Littele India di Jalan Tengku Kelana.
"Tiga penjuru kawasan itu kami rancang untuk bangunkan sebagai kawasan tarikan dengan tiga elemen budaya iaitu Cina (Jalan Gopeng), Melayu (Pasar Jawa) dan India (Tengku Kelana).
"Untuk program komuniti pula, kami dah mulakan dengan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti gotong-royong membersihkan kawasan rekreasi di sekitar Sungai Klang ini," katanya kepada Majoriti.
Tiga kawasan utama yang mahu dijadikan sebagai tarikan orang ramai.
Christopher berkata, pembaharuan di ketiga-tiga kawasan itu mampu meningkatkan lagi perpaduan sebagai masyarakat majmuk di Malaysia.
Katanya, usaha tersebut dapat dijayakan dengan kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta demi membangunkan lagi kawasan Klang menjadi lokasi tarikan penduduk tempatan dan pelancong.
"Jika kita lihat terutamanya di Pangkalan Batu ini sangat muhibah dan harmoni, tetapi kami mahu tempat ini lebih meriah lagi dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
"Mungkin akan memperbanyakkan lagi pusat-pusat komersial seperti kios perniagaan, tempat beriadah, lampu warna-warni khusus pada waktu malam.
"Disebabkan itu, program CSR sudah dimulakan secara perlahan-lahan sehingga dapat lihat perubahan baharu," jelasnya.
Beliau pada masa sama mengharapkan usaha itu dapat dilaksanakan dengan baik meskipun tidak dapat menjangkakan melihat hasilnya pada tempoh masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram