SEORANG pemuda sanggup untuk 'korbankan' kad Touch n Go (TNG) miliknya untuk membolehkan seorang wanita melepasi tol di sebuah lebuh raya.
Menerusi perkongsian di laman X (Twitter), seorang pemuda yang melalui Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) terkejut apabila melihat seorang wanita yang dipanggil aunty sedang berjalan untuk mendapatkan bantuan.
Pemuda yang melalui lorong TNG itu kemudiannya memberhentikan keretanya lalu bertanyakan kepada wanita tersebut apakah masalah yang dialaminya.
BACA LAGI: [VIDEO] Anak lelaki mangsa tanah jerlus kembali ke Malaysia jalankan ritual terakhir buat ibu
Dalam rakaman yang tular di laman X (Twitter), wanita itu kemudiannya memberitahu dia mempunyai masalah dengan kad TNG miliknya yang sudah tamat tempoh. Dia kemudiannya cuba mendapatkan bantuan daripada staf yang bertugas tetapi tidak menemuinya.
"Abang, ini kad boleh guna? Macam mana mahu bayar? Saya punya TNG sudah rosak, sudah expired," kata wanita tersebut.
Lelaki tersebut kemudiannya menawarkan kad TNG miliknya kepada wanita tersebut supaya boleh melepasi palang tol tersebut. Dia kemudiannya menggunakan kad Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk melepasi palang tol.
"Aku tak turun kereta, jadi aku pass saja kad TNG aku kepada aunty tu. Aku pakai RFID, nasib baik ada standby," kata lelaki tersebut.
Perbuatan lelaki tersebut nyata mendapat pujian kerana berjaya menjadi wira membantu wanita tersebut yang dalam kesusahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram