DENGAN perubahan zaman lebih moden, kini memberi pelbagai kemudahan dan pilihan kepada masyarakat terutamanya untuk membeli-belah barang keperluan.
Jika dilihat sekarang, trend membeli barangan terpakai atau lebih dikenali sebagai 'bundle' menjadi alternatif lestari kepada alam sekitar.
Ia juga mampu mengawal diri untuk berbelanja melebihi kemampuan sekali gus dapat menjimatkan kos pembelanjaan harian.
BACA LAGI: [VIDEO] 'ALLAH pasti ganti yang lebih baik', ramai doakan bapa Al Fateh kuat hadapi dugaan hidup
Membeli barangan terpakai dapat menjimatkan kos perbelanjaan. — The Star
Mengamalkan gaya hidup sama, Marissa Gaffor, 23, mula menyelami dunia membeli-belah barangan terpakai apabila berdepan dengan masalah kewangan.
Marissa berkata, barangan terpakai pertama yang dibelinya adalah sepasang gaun baldu untuk dipakai sempena sambutan hari ulang tahunnya ke-19 tahun.
"Ia merupakan gaun yang sangat cantik tidak pernah saya lihat sebelum ini dengan sulaman manik halus dan harganya hanya RM20.
"Saya masih simpan lagi sehingga sekarang. Pada awalnya ia memang menjimatkan wang, tetapi saya gunakan cara itu secara praktikal supaya mengelakkan rasa bersalah sebab berbelanja berlebihan," katanya.
Katanya, ia juga menjadi langkah terbaik bagi mengurangkan nafsu membeli pakaian baharu setiap hari.
Bagi Marissa, trend gaya hidup atau fesyen sentiasa berubah setiap tahun dan membeli pakaian terpakai boleh mengurangkan amalan membazir dalam kalangan masyarakat tempatan.
Marissa beranggapan bahawa pakaian terpakai lebih unik. — The Star
Manakala, seorang 'penyelam' barang terpakai, Sheanni Lim, 22, pula tertarik dengan harga mampu milik yang ditawarkan untuk pakaian berjenama.
Mengimbau kembali detik bermulanya minat Sheanni terhadap gaya berbelanja itu apabila dia melancong ke luar negara dan sukar mencari seluar panjang di pasar raya.
"Ia mula buka mata saya selepas lihat teman lelaki memilih seluar jeans terpakai yang masih dalam keadaan baik.
"Sejak itu, membeli-belah barangan terpakai dah jadi aktiviti harian dan hampir setiap minggu untuk kami.
"Kami sangat minat dengan fesyen dan pergi kedai menjual pakaian terpakai bersama-sama adalah cara terbaik buat mengeratkan lagi hubungan kami.
"Sangat seronok untuk memilih pelbagai jenis pilihan pakaian dan bergaya bersama," katanya.
Sheanni yang lebih gemar menggayakan pakaian 'bundle'. — The Star
Trend global
Membeli-belah barangan terpakai terutamanya pakaian sebenarnya membawa gelombang populariti ketara di peringkat global.
Meskipun berlakunya inflasi dan peningkatan harga barang, namun tarikan kedai barangan terpakai kekal mendapat sambutan hangat.
Trend itu juga didorong oleh kesedaran yang semakin meluas tentang kemampanan, keterjangkauan dan permintaan untuk item unik dan istimewa.
Fesyen terpakai turut dijangka semakin meningkat menjai alternatif efektif khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan generasi muda menjelang 2025.
Teroka gaya fesyen unik
Tidak seperti kedai runcit biasa apabila kebanyakan jenama besar sentiasa mengikut trend semasa dan mengeluarkan produk baharu, kedai barangan terpakai memberi alternatif lain kepada orang ramai merasai pengalaman berbeza.
Menurut Sheanni, kegembiraan itu seumpama memburu harta karun kerana ia memerlukan masa yang lama untuk membuat pilihan di dalam longgokan pakaian terpakai.
Membeli barangan terpakai yang menyeronokkan seperti memburu harta karun. — The Star
Antara aspek lainnya adalah apabila mereka mempunyai kebebasan untuk bereksperimen dengan gaya tersendiri.
Kedai barangan terpakai menawarkan pelbagai pilihan dari era berbeza yang membolehkan pembeli membuat padanan mengikut cita rasa dan kreativiti mereka.
"Anda tidak pernah tahu apa yang akan anda jumpa, anda boleh jadi kreatif dan unik pada masa sama.
"Saya suka gaya Y2K (fesyen millenium diinspirasikan daripada gaya pertengahan 1990-an hingga awal 2000.
"Dan kedai pakaian terpakai itu mencerminkan keperibadian saya," katanya.
Baju, kasut, beg dan topi antara jenis barangan terpakai yang sering dijual. — The Star
Tepis tanggapan negatif
Mereka bagaimanapun berpendapat bahawa kebanyakan individu mempunyai tanggapan serong terhadap penjualan barang terpakai kerana diragui tahap kualitinya.
Meskipun begitu, setiap penjual pastinya menitikberatkan kebersihan dan penjagaan produknya sebelum dijual kepada pelanggan.
Justeru, Marissa memutuskan untuk membuka gerai jualan pakaian terpakai di pasar tempatan sejak 2022 secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama komuniti.
"Ia sangat mudah kerana anda tidak memerlukan penjenamaan semula. Saya hanya mengumpulkan barang-barang yang berbaloi untuk dijual, meletakkannya di beberapa rak dan menetapkan harga," katanya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram