KEADAAN jalan berlubang di sepanjang Jambatan Selat menghala ke Bandar Suleiman, Klang, Selangor yang menyebabkan takungan air mengundang kemarahan ramai termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Susulan itu, Azmizam bertindak menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan masalah terbabit dengan segera selepas hampir setahun menunggu.
Menurutnya, tindakan JKR yang dianggap lemah itu sekali gus menyebabkan kerap berlakunya kemalangan maut.
BACA LAGI: Bukan tiru stail semata-mata, dunia rock bantu pemuda OKU asal Taiping faham erti hidup sebenar
Beliau menerusi video dimuat naik di TikToknya berkata, pihaknya memberi tempoh selama seminggu untuk JKR membaiki jalan berlubang tersebut sebelum satu protes atau mogok dilakukan.
"Kepada Datuk (Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir. Roslan Ismail) yang dilantik Jun lalu, menteri sudah turun (meninjau lokasi) November tahun lalu. Bila masalah ini hendak selesai.
"Hari ini, hari cuti (Ahad) pukul 5.40 petang. Inilah masa untuk baiki jalan yang rosak kerana esok hari bekerja. Siapa kontraktor yang dilantik, di mana pegawai-pegawainya.
"Kalau tak selesai juga, saya akan ajak pengguna terutamanya pemilik kenderaan berat buat mogok beramai-ramai sampai jalan ini siap atau Datuk letak jawatan," katanya dengan nada berang.
Beliau yang tidak sanggup melihat pengguna terpaksa melalui jalan raya sedemikian menambah bahawa situasi itu tidak seharusnya berlaku di kawasan tersebut.
Katanya, Pelabuhan Klang antara lokasi tersibuk di dunia dan laluan kegunaan setiap hari secara tidak langsung memerlukan infrastruktur jalan yang efisien.
Justeru, pihaknya memohon agar kerajaan memandang serius terhadap masalah berkenaan demi keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya di Pelabuhan Klang.
Video itu sekali gus meraih perhatian dan sokongan rata-rata warga maya yang melihat tindakan bertanggungjawab Azmizam terhadap kawasan jagaannya.
"Kalau macam inilah ADUN Pelabuhan Klang, ramai sayang, boleh sambung sepenggal lagi," tulis @YOEPCD.
"Terbaik. Respect. JKR jangan pura-pura jadi mangsa," komen @shaharudinali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram