[VIDEO] Berkat 'cafe hunting', suami isteri asal Perak mulakan kafe kek dan kopi premium di Ipoh


  • Bizz
  • Khamis, 26 Sep 2024

Pasangan suami isteri ini memutuskan untuk kembali ke kampung halaman di Ipoh, Perak pada tahun 2022 dan memulakan bisnes sendiri.

KECINTAAN terhadap aktiviti cafe hunting menjadi titik tolak buat pasangan suami isteri berasal dari Perak untuk mencetuskan idea memulakan perniagaan berasaskan sektor makanan dan minuman (F&B).

Nurhazwani Mohamed Hashim, 31, bersama suaminya, berkongsi minat yang mendalam terhadap kopi.

Aktiviti menjelajah pelbagai kafe semasa menetap di Kuala Lumpur dan Selangor, ditambah keseronokan dalam setiap seduhan rasa air kopi memberi inspirasi untuk membuka kafe sendiri.

BACA LAGI: Sanggup berguru di serata Kedah, Mohd Rizal kekalkan identiti budaya Melayu dalam bisnes kopi di Sungai Petani

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

Beroperasi di dua lokasi iaitu dekat Medan Lapangan Suria dan PitStop Bulatan Meru, Ipoh, Perak, kafe HH Kek & Kopi yang ditubuhkan pada Ogos 2022 memfokuskan pada penyediaan kek buatan tangan dan kopi berkualiti tinggi.

Nurhazwani berkata, melalui kafe tersebut, dirinya berhasrat untuk menawarkan pengalaman menjamu selera secara santai kepada pelanggan, dengan menggunakan bahan-bahan premium seperti coklat berkualiti, selain memastikan setiap hidangan dihasilkan dengan penuh kasih sayang.

Berkongsi detik awal pembabitan dalam dunia bisnes, anak ketiga daripada empat beradik ini mengakui, minat pada seduhan rasa air kopi menyebabkan dirinya berani mengorak langkah ke arah satu perjalanan baharu.

Untitled design (19)

Antara hidangan pastri yang disediakan di kafe HH Kek & Kopi.

"Keinginan kami adalah untuk mencipta suasana mesra dan pelanggan boleh menikmati kek buatan sendiri sambil menikmati secawan kopi yang disediakan dengan penuh teliti.

"Melalui kafe ini, saya berharap dapat berkongsi kecintaan saya terhadap dunia makanan dengan orang ramai dan mewujudkan satu komuniti yang menghargai seni makanan serta minuman," katanya kepada Majoriti.

Selepas lebih 10 tahun merantau di pelbagai tempat seperti Johor dan Kuala Lumpur, Nurhazwani dan suaminya yang merupakan bekas jurutera di sebuah syarikat pembinaan memutuskan untuk kembali ke kampung halaman di Ipoh, Perak pada 2022.

Persis sirih pulang ke gagang. Bagi suami isteri itu, ini adalah masa yang tepat untuk mereka back for good dan terus menetap di negeri kelahiran tercinta.

Di situ, mereka melihat peluang untuk membuka kafe yang unik dan berbeza daripada yang sedia ada.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 08.28.44 (2)

HH Kek & Kopi memfokuskan pada penyediaan kek buatan tangan dan kopi berkualiti tinggi.

Coklat premium

Kongsi Nurhazwani lagi, dia berhasrat untuk menawarkan kelainan dari segi penghasilan pastri di Ipoh, terutama kerana kebanyakan kafe di bandar tersebut ketika itu jarang menggunakan bahan premium seperti coklat import.

"Saya sebelum ini pernah mempersoalkan kenapa rasa coklat mereka (pengusaha) begini? Agak sedikit kecewa kerana rasanya tidak sama dengan yang biasa dijual di Kuala Lumpur.

"Mungkin kerana bahan yang digunakan kurang premium, jadi ada yang kurang pada rasanya.

"Di sana (Kuala Lumpur) mereka berani nak guna coklat premium, tetapi dekat Ipoh, agak susah nak jumpa mungkin kerana takut nak jual dengan harga mahal.

"Namun sebenarnya bila dah buka kedai, saya faham kenapa mereka berbuat demikian, apatah lagi selepas mengambil kira semua kos yang perlu dikeluarkan," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 08.28.44 (1)

Nurhazwani menghasilkan aneka pastri menggunakan coklat premium untuk menghasilkan rasa yang juga premium.

Keputusan untuk memulakan perniagaan kafe bukanlah sesuatu yang dilakukan tanpa persiapan, apatah lagi minat pada seduhan rasa air kopi menyebabkan dirinya berani mengorak langkah ke arah satu perjalanan baharu.

Ini kerana lulusan Diploma Perniagaan Antarabangsa dari Kolej Profesional Mara (KPM) Seri Iskandar itu telah lama menunjukkan minat membuat kek dengan mengambil tempahan dari rumah.

Dorongan daripada kawan-kawan yang memuji hasil tangannya menyebabkan ibu kepada dua cahaya mata ini mula berani mengambil tempahan yang lebih besar.

"Saya tidak mempunyai latar belakang formal dalam bidang pastri, jadi saya belajar melalui kelas dalam talian, buku masakan dan percubaan sendiri.

"Saya juga pastikan bahan yang digunakan berkualiti, termasuk penggunaan coklat premium untuk menghasilkan rasa yang juga premium," tambahnya yang pernah bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 08.31.41

Usahawan ini telah lama menunjukkan minat membuat kek dengan mengambil tempahan dari rumah.

Dalam dunia keusahawanan, risiko adalah satu aspek yang tidak dapat dielakkan, namun Nurhazwani memilih untuk tidak membiarkan ketakutan menghalangnya daripada mengejar impian.

"Saya selalu berfikir, kalau tidak berjaya, kita cuba lagi. Pasti ada peluang kedua. Saya berani ambil risiko kerana yakin dengan usaha dan rezeki ALLAH SWT," ujarnya yang menjadikan isteri Rasulullah SAW, Sayidatina Khadijah RA sebagai inspirasi dalam bisnes.

Berbekalkan modal permulaan sebanyak kira-kira RM50,000, Nurhazwani dan suaminya membuka sebuah kafe di kawasan yang tidak memerlukan kos sewa yang terlalu tinggi.

Mereka memulakan perniagaan secara sederhana termasuk membeli peralatan dan mesin kopi secara berperingkat.

Ini membantu dalam mengurangkan risiko kewangan sambil perlahan-lahan membina asas perniagaan yang kukuh.

WhatsApp Image 2024-09-25 at 08.28.44

Pengunjung berpeluang merasai kepuasan dan pengalaman unik yang ditawarkan dalam setiap hidangan pastri dan air di HH Kek & Kopi.

Keberanian, minat dan keinginan untuk menawarkan yang terbaik kepada pelanggan menjadikan HH Kek & Kopi sebuah perniagaan yang berjaya, apabila jenama itu berhasil mencatatkan nilai jualan mencecah RM80,000 sebulan.

"Kami menekankan penggunaan bahan-bahan berkualiti premium, terutama dalam menu pastri.

"Meskipun harga mungkin sedikit lebih tinggi daripada pesaing, saya yakin pelanggan akan menghargai nilai dan rasa yang ditawarkan.

"Dengan variasi pastri antaranya crombolini, pavlova, baby pancake, cake in bowl dan thai milk bun serta pelbagai jenis kopi yang resipinya diolah sendiri oleh suami, saya berharap pengunjung berpeluang merasai kepuasan dan pengalaman unik yang kami tawarkan dalam setiap hidangan pastri dan air kopi," katanya sebelum menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram