PERKEMBANGAN industri haiwan peliharaan menyaksikan ekosistem penjagaan, dandanan dan hotel bertaraf lima bintang semakin bertambah baik demi memberikan keselesaan secara menyeluruh.
Kesanggupan untuk mengeluarkan belanja besar seperti membiayai keperluan, kesihatan dan pemakanan kucing juga terbukti peranan anak bulus itu bukan lagi sekadar haiwan peliharaan.
Kehadiran jenama Catzonia, sedikit sebanyak mencerminkan situasi sebenar dunia perhotelan kucing yang eksklusif.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bercerita tentang permulaan dirinya memulakan bisnes tersebut, Muhammad Syahir Zainal, 36, berkata, kasih sayang yang tertumpah kepada kucing sejak dari kecil menguatkan azamnya untuk menyediakan kediaman yang lebih sempurna buat haiwan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Catzonia Malaysia itu mengakui, minat terhadap haiwan comel tersebut terbawa-bawa hingga menginjak usia dewasa, apabila dia mula memelihara empat kucing British Shorthair yang dibeli dari luar negara pada harga RM4,000 seekor.
Daripada empat, mereka bertambah menjadi lapan dan pastinya penjagaan begitu rapi diperlukan untuk memastikan kucing-kucing peliharaannya senantiasa dalam keadaan baik.
Kesibukan sebagai jurutera menyebabkan dirinya kurang ada masa untuk merawat kucingnya sepenuh masa.
"Jika nak upah orang pun, kos penyelenggaraan sangat mahal, boleh cecah lebih RM2,000 sebulan.
"Kemudian saya terfikir mungkin ramai lagi individu yang berhadapan dengan situasi sama seperti saya," katanya.
Muhammad Syahir pada akhirnya sanggup melepaskan jawatan sebagai jurutera demi merealisasikan impian untuk membuka hotel kucing bertaraf lima bintang.
Muhammad Syahir sanggup melepaskan jawatan sebagai jurutera demi membuka hotel kucing bertaraf lima bintang.
Pusat jagaan premium
Kehadiran jenama Catzonia, sedikit sebanyak mencerminkan situasi sebenar dunia perhotelan kucing yang eksklusif.
Dilengkapi dengan bilik berhawa dingin dan kamera litar tertutup (CCTV), ia juga dipancarkan secara langsung ke telefon pintar pelanggan menerusi aplikasi khas.
Ia bagi memastikan pelanggan dapat memantau aktiviti haiwan kesayangan mereka yang sudah dianggap sebahagian daripada keluarga sendiri.
Catzonia menempatkan perkhidmatan spa mencantikkan kucing, tandas, permainan mini dan 60 bilik bertaraf VIC (very important cat), VVIC (very very important cat) dan super VVIC (very very very important cat) serta kad keahlian untuk pelanggan.
Ujar Muhammad Syahir, konsep hotel kucing diketengahkan adalah sejajar dengan permintaan pasaran semasa yang mahukan penjagaan haiwan kesayangan itu secara holistik dan premium.
Baginya, senario meninggalkan kucing di dalam sangkar adalah tidak relevan kerana haiwan peliharaan itu juga berhadapan dengan tekanan jika tidak bebas bergerak.
Kehadiran jenama Catzonia mencerminkan situasi sebenar dunia perhotelan kucing yang eksklusif.
“Kucing juga mempunyai emosi biarpun tidak berakal. Apabila tinggal di hotel, mereka akan mula rasa ditinggalkan oleh pemilik.
“Keadaan itu membuatkan mereka hilang selera makan. Jika dibiarkan berlarutan hingga dua hari, risiko kucing ulser dan penyakit sangat tinggi,” katanya.
Kongsinya lagi, idea penubuhan Catzonia bermula ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Amerika Syarikat (AS). Muhammad Syahir percaya jenama dibawa memiliki nilai luar biasa untuk dibangunkan.
Justeru, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu membangunkan idea untuk menyediakan pakej hotel penginapan kucing berkelas lima bintang yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, berbanding perkhidmatan biasa di pasaran.
“Pemilik kucing yang amat menitikberatkan kesejahteraan haiwan kesayangan ketika mereka berada di luar kawasan atau pulang ke kampung.
“Ketika di AS, saya sudah menyematkan azam untuk berbakti kepada negara apabila pulang ke tanah air.
“Sekembalinya ke Malaysia, saya menabur bakti untuk terbabit dalam projek mega negara terlebih dulu,” kata bekas graduan Ijazah Kejuruteraan dari Stevens Institute of Technology, New Jersey itu.
Catzonia menempatkan perkhidmatan spa mencantikkan kucing, tandas, permainan mini dan 60 bilik bertaraf VIC.
Pasaran antarabangsa
Memiliki pelanggan dalam kalangan golongan individu penting VVIP dan VIP serta selebriti, Catzonia yang beroperasi sejak 2017 itu sudah membuka 10 cawangan hotel kucing di sekitar Lembah Klang, Selangor, Melaka dan Ipoh, Perak.
Pusat jagaan harian haiwan peliharaan itu turut menerima anugerah Brand Of The Year at World Branding Award 2021-2022 kerana perkhidmatan dan operasi dikendalikan.
Dalam perancangan untuk membawa jenama itu ke persada dunia, Muhammad Syahir memberitahu, masih banyak perlu diatur dan rancang untuk memastikan operasi di luar negara berjalan lancar.
Sedang mengintai pasaran di London dan Abu Dhabi, katanya, untuk membuka cawangan adalah mudah tetapi beliau mahu pastikan kualiti perkhidmatan diberikan kepada pelanggan adalah terbaik.
Jelasnya, London antara negara pilihan untuk mula mengembangkan sayap perniagaan bertaraf antarabangsa kerana negara itu sinonim dengan kucing.
Pelanggan juga dapat memantau aktiviti haiwan kesayangan mereka yang sudah dianggap sebahagian daripada keluarga sendiri.
“Saya perlu pastikan pekerja mempunyai kemahiran menjaga kucing kerana perkhidmatan ini membabitkan nyawa haiwan peliharaan kesayangan.
“Selain hotel, pekerja juga perlu berdepan dengan kebarangkalian tercedera ketika memandikan kucing, emosi dan ragam haiwan pelbagai,” ujar pencinta kucing itu.
Dalam perancangan untuk membuka dua lagi cawangan Catzonia, katanya perkhidmatan penjagaan kucing memerlukan hati kental.
Tidak hanya berhadapan dengan ragam kucing, tetapi jangkaan pemilik haiwan yang mahukan perkhidmatan terbaik juga antara cabaran.
Ada kalanya, kucing yang sudah dimandikan menjadi kotor semula juga menjadi punca kepada persepsi negatif pemilik terhadap perniagaan Catzonia.
“Bagi saya, komen atau maklum balas yang kurang menyenangkan adalah pencetus kepada pencarian solusi baharu.
“Sejujurnya jika tidak mempunyai pegangan kuat dan minat terhadap dunia kucing yang mendalam sukar untuk meneruskan perniagaan ini,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram